
Kejayaan Sabah FC mengatasi Sri Pahang FC 2-1 membantu pasukan tersebut melonjak ke tangga pertama Liga Super 2022 pada aksi ke-10 liga di Stadium Likas pada Sabtu.
Skuad Datuk Ong Kim Swee itu merampas kedudukan pendahulu daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas aksi bertemu Kedah Darul Aman (KDA) ditunda kerana pasukan utara itu kini dalam persiapan menghadapi perlawanan Piala AFC 2022.
Jaringan awal Neto Pessoa pada minit ke-10 disusuli jaringan Taiki Kagayama pada minit ke-18 meletakkan Sabah selesa dua gol di hadapan dan kekal hingga separuh masa pertama.
Pelawat berjaya merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-60 hasil jaringan penalti Manuel Hidalgo dan keputusan tersebut kekal ke wisel penamat.
Di Kuala Terengganu, Kuala Lumpur City FC tewas 2-0 kepada Terengganu FC sehingga menyaksikan pasukan pantai timur itu melonjak ke tangga keenam liga.
Terengganu FC meraih tiga mata hasil jaringan Habib Haroon pada minit ke-75 dan Manuel Ott pada minit ke-81.
Di Georgetown, pasukan berada di dasar liga, Penang FC berjaya bangkit mengikat Petaling Jaya FC 1-1 biarpun ketinggalan kepada jaringan S Kumaahran pada minit ke-36 sebelum disamakan oleh Casagrande pada minit ke-63.
Di Melaka, usaha Negeri Sembilan FC untuk memungut tiga mata di Stadium Hang Jebat tidak kesampaian apabila terikat tanpa jaringan dengan Melaka United FC.
Add Comment