Olahraga Terkini

KPT BAKAL UMUM PELATIH PELARI PECUT PROJEK B10


PUTRAJAYA – Selepas 3 sesi ujian kelayakan, 7 pelatih pelari pecut telah dikenalpasti untuk diserapkan ke dalam program khas ‘Projek B10’ atau projek larian bawah 10 saat anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pengumuman senarai pelatih tersebut akan diperhalusi terlebih dahulu oleh panel jawatankuasa pemilihan sebelum diumumkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dalam sedikit masa lagi.

Pada sesi ujian pemilihan ketiga di UPM baru-baru ini, seramai lebihkurang 20 pelatih daripada Sekolah-sekolah Sukan Malaysia (SSTMI) dan Sekolah Sukan Negeri (Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, & Melaka) hadir menjalani ujian-ujian yang ditetapkan oleh panel kejurulatihan projek ini.

Hasil daripada penilaian dan rumusan yang dibuat mendapati terdapat 3 lagi calon pelatih diperolehi selepas ujian di Johor Bahru, Johor (1 calon layak) dan Kangar, Perlis (3 calon layak) diadakan sebelum ini. Bagaimanapun nama pelatih hanya akan diumumkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini nanti.

“Sesi ujian di UPM ini agak menarik dan kita melihat kesungguhan tinggi bakal-bakal pelatih dalam beberapa sesi ujian yang dilakukan. Jika mereka boleh melepasi had kelayakan yang mencabar ini, ia satu petanda yang sangat baik untuk mereka digilap maju, kita juga utamakan kualiti dan bukan kuantiti”. Dr Pekan Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Panel Pemilihan Projek B10, KPT.

Program khas ini yang juga diangkat sebagai ‘Program Bitara’ iaitu projek yang berimpak tinggi oleh KPT ini dilancarkan oleh Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi pada November tahun lalu. Ini adalah projek jangkapanjang yang mengambil masa antara 1-5 tahun. Program ini bagi melahirkan pelari pecut pertama negara yang mampu berlari dengan catatan masa di bawah 10 saat.

Program dengan kerjasama Pusat Sukan Tumpuan (PST) Olahraga UPM ini menggunakan khidmat kepakaran jurulatih-jurulatih olahraga terkemuka negara seperti Manshahar Abdul Jalil, Nazmizan Muhammad, Hamberi Mahat, Jad-Adrian Washif, Tan Kok Lim dan ramai lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: