
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan kejayaan Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 selepas 43 tahun turut membawa 1001 makna kepada negeri Johor khususnya.
Menurutnya, Tunku Mahkota Johor (TMJ),Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara tidak langsung terlibat meletakkan batu asas kepada pembangunan bola sepak negara ini.
“Tahniah saya ucapkan atas kejayaan skuad bola sepak kebangsaan negara selepas berjaya menamatkan penantian selama 42 tahun layak ke Piala Asia.
“Sebanyak 15 pemain dan bekas pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT) membarisi skuad Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia kali ini,” katanya seperti yang dipetik melalui Facebooknya pada Rabu.
Mengulas lanjut, tanpa usaha dan sokongan berterusan daripada TMJ untuk merevolusikan bola sepak dari pelbagai aspek, beliau percaya bola sepak Malaysia tidak akan sampai ke tahap ini dimana penantian empat dekad berakhir.
Menurutnya, tahun ini juga merupakan tahun paling membanggakan buat rakyat negeri Johor apabila JDT berjaya melangkah ke pusingan kedua ke Kejohanan Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama.
“Kini, majoriti pemain JDT adalah mereka yang membawa skuad kebangsaan layak ke Piala Asia.Saya berdoa agar kejayaan ini bukanlah satu pengakhiran sebaliknya satu permulaan bagi bola sepak Johor terus memahat nama di persada dunia,” ujarnya.
Add Comment