
Majlis Sukan Negara (MSN) menjelaskan artikel bertajuk ‘Watson Nyambek: Potong elaun jejas prestasi di Sukan SEA’ yang disiarkan di laman portal berita Malaysiakini pada Rabu adalah tidak tepat.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, faktor kurangnya pendedahan pertandingan di luar negara untuk atlet-atlet negara sebelum ke temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam memang diakui dan dinyatakan ketika rumusan prestasi Kontinjen Malaysia pada 22 Mei yang lalu.
“Ianya bukan kerana kekangan kewangan, sebaliknya banyak kejohanan tidak dianjurkan atau dibatalkan oleh negara-negara penganjur ekoran daripada langkah kawalan pandemik Covid-19 sejak Mac 2020 lagi.
“Namun pada masa sama, dakwaan pemotongan elaun atlet yang kali pertama ditimbulkan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Steven Sim, dan turut diulas Watson dalam artikel kali ini kurang tepat dan perlu diperjelaskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, MSN telahpun menghubungi Watson sebaik artikel ini disiarkan dan bekas jaguh pecut itu mengakui bahawa beliau tidak tahu dengan jelas mengenai isu pemotongan elaun berkenaan.
“Untuk makluman, MSN telah menawarkan sambungan kontrak kepada atlet-atlet yang layak mengikuti program latihan sepenuh masa di bawah Program Podium pada Januari lalu.
Ketika itu, ada cadangan pengurangan kadar elaun latihan kepada atlet-atlet ekoran tiadanya peruntukan khusus untuk tujuan berkenaan,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, hasil inisiatif Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Haji Azumu yang turut disokong rakan-rakan Menteri yang lain, Jemaah Menteri telah bersetuju mengembalikan peruntukan sebanyak RM60 juta setahun bagi membiayai Program Podium.
Jelasnya lagi, ekoran itu, arahan pembayaran penuh elaun latihan telah dikeluarkan kepada MSN pada pertengahan Januari dan semua atlet secara serta merta kembali menikmati bayaran mengikut kelayakan masing-masing.
“Untuk rekod, setiap pemenang pingat Sukan SEA menerima elaun latihan RM2,000 sebulan, diikuti RM1,500 sebulan untuk pemenang pingat perak dan RM1,000 untuk gangsa. Pemenang-pemenang pingat emas Sukan Asia.
“Bagi Sukan Komanwel pula, atlet menerima elaun latihan bulanan sebanyak RM4,500, pemenang pingat perak RM4,000 dan RM3,500 untuk pemenang pingat gangsa pada kedua-dua temasya berkenaan,” katanya.
Ahmad Shapawi berkata, jumlah elaun bulanan diterima pemenang pingat emas Sukan Olimpik pula ialah RM7,500, pingat perak RM7,000 sebulan manakala RM6,500 untuk pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik.
Add Comment