
PROJEK pembangunan bersepadu dikenali sebagai The Sports Arina yang merangkumi litar go-kart kompetitif yang dilengkapi go-kart gred profesional, di samping litar tertutup berhawa dingin popular, KF Kiddy Circuit bakal menjadi tarikan baharu Desaru Coast.
Merupakan satu lagi tarikan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa di Riverside, Desaru Coast apabila menerima pelaburan sebanyak RM10 juta daripada Arina International Holding Pte Ltd dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn. Bhd., Izrin Hashim berkata, pelaburan strategik itu membuktikan keyakinan pihak swasta terhadap potensi Desaru Coast serta menyokong evolusinya sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman melangkaui penginapan biasa.
“Desaru Coast kini muncul sebagai destinasi riadah aktif di mana pengunjung boleh menggabungkan penginapan percutian bersama sukan, rekreasi dan pengalaman keluarga.
“The Sports Arina membina momentum ini dengan memperkenalkan aktiviti baharu yang melengkapkan kemudahan sedia ada seperti pusat peranginan, padang golf, taman tema air dan tarikan pantai,” ujarnya.
Selain litar go-kart, pembangunan fasa baharu itu turut merangkumi tempat duduk penonton, ruang menjamu selera, gerai barangan serta peluasan kemudahan sukan bola pikel dan padel.
Arina International sebelum ini telah membuka tiga gelanggang bola pikel terbuka di Riverside pada Julai 2026 dengan perancangan penambahan tiga lagi gelanggang bersama kemudahan padel dalam fasa seterusnya.
Sementara itu, Pengerusi Arina International Holding Pte Ltd, Richard Tan berkata, pihaknya memilih Desaru Coast kerana kemudahsampaian serta infrastruktur pelancongan antarabangsa yang mantap di destinasi tersebut memberikan asas yang kukuh untuk kemudahan baharu itu.
“Kami melihat potensi yang besar untuk sukan karting di Desaru Coast dan yakin ia mampu menarik peminat go-kart rekreasi serta peminat sukan pemotoran dari Malaysia dan Singapura.
“Kami berhasrat mewujudkan litar beroperasi secara profesional yang dilengkapi peralatan dan keupayaan masa yang tepat untuk memenuhi keperluan kedua-dua kumpulan,” katanya.
Arina International yang berpengalaman luas termasuk menyokong kejohanan Formula 1 Grand Prix Singapura sejak 2008 serta mengendalikan litar ikonik KF1 Kranji di Singapura, optimis bahawa kehadiran The Sports Arina di Desaru Coast akan memperkukuhkan lagi kedudukan kawasan pesisir pantai seluas 4,000 ekar itu sebagai pusat pelancongan serantau yang popular






Add Comment