Bola Sepak Semasa Terkini

Selangor lonjak tangga kelima, Pahang terus kecewa


Selangor FC melonjak ke tangga kelima kedudukan Liga Super 2022 selepas berjaya menewaskan Sri Pahang FC 3-1 pada perlawanan tertunda aksi kedua liga di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada malam Jumaat.

Harapan Tok Gajah yang mahu memburu kemenangan kedua berturut-turut di laman The Red Giant gagal apabila tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-32 menerusi penyerang berbisa mereka, Caion yang menanduk masuk hantaran Quentin Cheng.

Selangor FC jelas memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila seterusnya menjarakkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-52 hasil jaringan Hyuri Henrique yang berjaya menyambut baik hantaran Mukhairi Ajmal bagi memastikan tuan rumah selesa di hadapan.

Bagaimanapun, Sri Pahang FC bangkit merapatkan jurang kepada 2-1 hasil jaringan Nor Azam Azih pada minit ke-62 selepas bijak memanfaatkan hantaran rakan sepasukannya.

Selangor FC kemudian melengkapkan kemenangan 3-1 mereka untuk meraih tiga mata hasil tandukan pemain pertahanannya, Yazan Al-Arab yang memanfaatkan penjuru yang dihantar oleh rakan pasukan, Alexander pada minit ke-73
Kemenangan tersebut memastikan The Red Giants mengutip lapan mata selepas menang dua, dua seri dan satu tewas manakala Sri Pahang pula kekal ditangga kesembilan selepas mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan tiga tewas.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: