Bola Sepak

Myanmar, Hong Kong uji kekuatan anak buah KPG


Oleh: HASYA

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengesahkan anak buahnya akan diuji pasukan Myanmar dan Hong Kong sebelum aksi Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dari 8 hingga 14 Jun depan.

Menurutnya, Myanmar berada di ranking 152 akan menguji Harimau Malaya pada 27 Mei manakala Hong Kong di ranking 147 pada 1 Jun ini.

“Skuad Harimau Malaya akan mula berkumpul bagi kem latihan pusat menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 ini pada 19 Mei ini iaitu sejurus berakhirnya Hari Perlawanan 9 saingan Liga Super 2022 pada 18 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber gambar : Football Association of Malaysia

Mengulas lanjut, katanya, tempoh tiga minggu kem latihan pusat termasuk perlawanan pemanas badan menentang Myanmar dan Hong Kong ini diharap dapat memberi peluang dan ruang buat barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya meningkatkan lagi tahap permainan semua pemain.

“Keserasian serta kombinasi para pemain juga ditekankan sebelum berdepan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh pada aksi sebenar,” ujarnya.

Pan Gon berkata, dengan kesemua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, beliau berharap kehadiran penyokong setia Harimau Malaya akan memberikan suntikan semangat untuk pasukan tampil dengan persembahan lebih bertenaga dan seterusnya dapat memberikan keputusan positif serta kejayaan yang semua harapkan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: