Bola Sepak

Piala FA 2022; MUFC enggan jadi macam Sri Pahang FC


Vidakovic mahu pemainnya tidak memandang rendah kemampuan lawan pada aksi di Stadium Hang Jebat, malam ini.

MENJELANG aksi pusingan pertama Piala FA 2022 menentang pasukan dari Liga M3, PIB FC malam ini, Melaka United FC enggan menerima kejutan tersingkir awal dań mahu melangkap ke pusingan seterusnya tanpa perlu diputuskan dengan sepakan penalti.

Pengendalinya, Risto Vidakovic, sedar pasukan dari liga amatur sering kali bermotivasi tinggi untuk mencipta kejutan bagi menunjukkan keupayaan mereka bersaing dengan kelab-kelab elit.

” Saya mengingatkan para pemain agar menghormati lawan sepertimana pasukan lain semasa di Liga Super dan berikan yang terbaik di atas padang.

” Jangan sama sekali memperendahkan kemampuan mereka kerana kebiasaannya, lawan dari liga lebih bawah ini akan ada satu perasaan motivasi yang luar biasa.

” Jadi, jika kita tidak berhati-hati, mereka boleh mengejutkan kami dan saya tidak mahu perkara itu terjadi kerana saya mahu membawa Melaka melangkah jauh di pertandingan Piala FA,” katanya.

Minggu lalu, Sri Pahang FC diheret ke penentuan sepakan penalti semasa bertemu Manjung City FC sebelum melayakkan diri dengan kemenangan tipis, 5-4.

Aksi Melaka United dan PIB ini sepatutnya berlangsung pada 12 Mac lalu tetapi terpaksa ditunda ekoran sebahagian besar pemain serta pegawai Melaka United mendapat jangkitan COVID-19.

Melaka United setakat ini bermula perlahan di Liga Super apabila sekadar meraih satu keputusan seri, 1-1 dengan Penang FC selain tewas 0-1 kepada PJ City FC pada perlawanan pembukaan di pentas Liga Super.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: