PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui intensiti tinggi atau tempo permainan pantas sangat penting pada masa kini namun pemahaman mengenai kemampuan fizikal pasukan dan permainan serta taktikal lawan perlulah menjadi keutamaan.
Lantaran itu, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu belum memutuskan untuk melaksanakan corak permainan berkenaan yang semakin mendapat tarikan dalam era bola sepak moden hari ini.
“Intensiti tinggi atau tempo permainan pantas sangat penting pada masa kini namun kami perlu memahami banyak perkara termasuk fizikal pasukan, memahami permainan atau juga taktikal lawan kami.
“Lagipun, kami akan cuba yang terbaik dalam meningkatkan asas yang kami ada,” katanya.
Tambahnya lagi, dia enggan terburu-buru mengadaptasi corak permainannya terhadap pemain tetapi berjanji untuk membantu mereka memahami idea itu dengan baik dari semasa ke semasa.
“Kita tidak boleh terus sahaja ke arah itu kerana ia pasti gagal. Kita akan melihat apa yang kita ada dan cuba mengadaptasi dari semasa ke semasa,” katanya.
Kesemua pemain Harimau Malaya kini menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil selama lapan hari sebelum mereka berlepas ke Singapura pada 22 Mac bagi menghadapi perlawanan persahabatan Antarabangsa Peringkat 1 di Stadium Nasional Singapura menentang Filipina dan Singapura serta pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.
Add Comment