Bola Sepak

Safiq akui jiwa kembali seperti pemain muda baharu


Oleh : SUBKHI SUDARJI

SAFIQ Rahim yang dipanggil kembali menyertai kem latihan Harimau Malaya mahu tampil dengan wajah baharu serta tidak melihat dia memiliki tugas istimewa yang perlu dilaksanakan.

Jeneral padang berusia 35 tahun itu, mahu membuktikan kemampuan dimiliki dan pada masa sama menghamburkan penghargaan kepada pengurusan serta jurulatih yang menyenaraikannya.

“Tiada apa yang istimewa kerana kebanyakan pemain dipilih menyertai skuad ini mempunyai kelebihan masing-masing dan tugas yang ditetapkan. Jadi tidak salah untuk saya dapat memberikan sesuatu dalam pasukan.

“Apa yang pasti saya sifatkan diri saya ini baharu sama seperti pemain muda lain yang berada dalam skuad ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kali terakhir Safiq menyarung jersi kebangsaan adalah pada 2018 apabila menggalas tugas selaku ketua pasukan ketika Harimau Malaya mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Mongolia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dianggap antara arkitek tebaik negara,  dia pernah mengumumkan persaraan daripada pentas bola sepak antarabangsa pada 2016 namun kembali memperkuatkan skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Nelo Vingada pada 2017.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) tersenarai dalam kalangan 30 pemain yang dipilih Pan Gon menjelang aksi persahabatan antarabangsa di Singapura minggu depan sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun.

Harimau Malaya dijadual berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac di Stadium Nasional Singapura, sebelum bertemu pasukan Liga Singapura Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d