Oleh : SUBKHI SUDARJI
JUARA Piala FA 2016, Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan pengajaran dan pengalaman berharga buat kelab bola sepak Budak Rumah Murah, (BRM FC) apabila tewas 0-10 pada aksi pusingan pertama Piala FA 2022 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.
Selepas gah membenam Sarawak United 6-0 pada saingan Liga Super sebelum ini, kini giliran pasukan Liga M3 yang berpengkalan di Kuala Kangsar pula menjadi mangsa kerakusan tuan rumah yang mendominasikan sepenuhnya perlawanan.
Lima gol pada setiap babak dengan penyerang import, Fernando Forestieri melakar hatrik pada separuh masa pertama mencuri tumpuan membantu Harimau Selatan melangkah ke pusingan seterusnya.
Pesta gol buat tuan rumah mula terhasil seawal minit ke -2 menerusi Forestieri sebelum penyerang berkenaan melengkapkan malam hatrik dengan gol kedua dan ketiga pada minit ke 24 serta 43.
Turut menjaringkan gol pada separuh masa pertama ialah Safiq Rahim (m-7) dan Safawi Rasid (m-19)
Memasuki babak kedua, Mauricio turut mencetak nama selaku penjaring gol keenam pada minit ke 56 sambil Moussa Sidibe turut tidak ketinggalan meledak gol selang 14 minit kemudian.
K Daryly Sham memastikan kedudukan 8-0 pada minit ke-83 sebelum Mohamadou Sumareh menjaringkan gol ke sembilan minit ke-89.
Pelawat berpeluang memecahkan jaringan gol namun sepakan penalti yang diambil pemain gantian Mohd Fitri Omar pada minit ke-90 gagal menewaskan Haziq Nadzli.
Pemain muda JDT, Danial Amier melengkapkan malam gemilang tuan rumah dengan gol ke 10 pada masa kecederaan babak kedua.
SEMENTARA itu pada aksi di Stadium Negeri Kuching, Sarawak United FC turut meraih kemenangan mudah selepas membenam cabaran Ultimate FC, 7-0.
Gol-gol tuan rumah dijaringkan Boris Kok minit ke-9 sebelum Uche Agba menjaringkan pada minit ke-51 sebelum Nur Shamie Iszuan meledak gol ketiga pada minit ke 58
Uche Agba memastikan namanya terpahat selaku penjaring untuk gol keempatnya SUFC pada minit ke- 72 sebelum selang seminit kemudian giliran Ahmad Khairil Anuar meledak gol kelima.
Tuan rumah terus selesa apabila Zharmien Ashraf Ismail menjaringkan gol keenam minit ke-81 dan Francis Kone minit ke-86 untuk kemenangan mutlak 7-0 mengatasi Ultimate FC.
Add Comment