Oleh : SUBKHI SUDARJI
SELEPAS berdepan saingan sengit dengan menewaskan Sabah FC, juara Liga Premier musim lalu Negeri Sembilan FC terus diuji apabila berkunjung ke Kuala Terengganu , malam esok.
Skuad bimbingan Nafuzi Zain yang masih belum beraksi diatas padang sebenar ekoran penangguhan aksi pertama menentang Sri Pahang FC susulan Covid-19 pastinya akan turun habis-habisan bagi meraih tiga mata.
Namun bagi pengendali The Jangs, K.Devan pasukannya sudah bersedia sepenuhnya dari segi keyakinan dan persiapan selepas menumbangkan Sang Badak, 1-0 pada aksi pertama, Jumaat lalu.
Jelas Devan, kemenangan ke atas Sabah FC memberikan keyakinan buat pemainnya menjelang aksi di Kuala Terengganu.
“Bagi pasukan saya, walaupun kita menang dengan Sabah yang merupakan pasukan kuat, keputusan ini sedikit sebanyak memberi keyakinan yang baik untuk berdepan TFC.
“Tuan rumah adalah pasukan pilihan, mungkin akan menghabiskan saingan musim di dalam kelompok tiga terbaik berdasarkan pemain yang dibawa masuk,” ujarnya kepada CAKAP SUKAN.
Tambahnya lagi, selaku tuan rumah dan beraksi kali pertama, Sang Penyu pastinya akan turun habis-habisan yang memerlukan pasukannya memberikan lebih perhatian.
“Kami akan perbaiki pelbagai aspek antaranya dari segi serangan untuk lebih tajam memburu gol, apa yang pasti saya sudah memiliki gambaran corak permainan yang bakal disajikan selepas aksi di Kota Kinabalu,” ujarnya.
Add Comment