
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PENGENDALI Petaling Jaya City FC, P Maniam mengingatkan barisan pemainnya agar berwaspada dengan semangat kebangkitan Sabah FC pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.
Ujarnya, kekalahan 0-1 dilaman sendiri Jumaat lalu ditangan Negeri Sembilan FC pastinya ingin ditebus pada aksi kedua.
“Tuan rumah pastinya akan beraksi dengan semangat membara selepas tewas sebelum ini, bukan senang untuk PJ City FC namun pemain telah diingatkan agar jangan mudah berputus asa.
“Kami akan terus bermain sebagaimana aksi menentang Melaka United FC , Sabtu lalu , teruskan bekerja dan mencipta peluang,” katanya dihubungi CakapSukan.
Mengulas kemungkinan beberapa pertukaran dilakukan menjelang aksi malam esok, P Maniam tidak menyembunyikan situasi berkenaan berdasarkan kecederaan dialami pemainnya.
“Kita akan tukar beberapa pemain ekoran kecederaan dan tahap kecergasan selepas aksi pertama sebelum ini, pada masa sama kita juga tidak mahu memberi tekanan kepada pemain.
“Bermain dengan bersungguh-sungguh dan beri komitmen sepenuhnya,” tegasnya.
PJ City yang tampil dalam saingan Liga Super tanpa khidmat pemain import untuk dua tahun berturut-turut mempamerkan aksi mengagumkan apabila menewaskan semi finalis Piala Malaysia 2021, Melaka United FC 1-0 yang dibarisi pemain import.
Add Comment