
TINDAKAN Pesuruhjaya Sukan (PJS) menggantung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berikutan pelanggaran perlembagaan tidak menjejaskan penyertaan Perak FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa PAFA dan Perak FC merupakan dua entiti berbeza, selepas berlakukanya proses penswastaan liga bola sepak tanah air.
“Perkara itu tidak timbul kerana ia bukan dalam organisasi yang sama,” kongsinya kepada Bernama.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Pesuruhjaya Sukan Ibrahim Mohd Yusof memaklumkan bahawa PAFA digantung enam bulan ekoran pelanggaran perlembagaan persatuan sewaktu pemecatan keahlian 12 gabungan badan sukan tersebut sebelum ini.
Keputusan penggantungan itu dicapai dalam satu mesyuarat dihadiri Setiausaha Persatuan Bolasepak Daerah Kerian Tajul Hasnan mewakili ahli gabungan yang dipecat, dan Pemangku Presiden PAFA Datuk Muhammad Yadzan Mohammad pada Isnin.
‘Kumpulan 12’ ahli gabungan tersebut adalah Persatuan Bolasepak (PB) Perak Tengah, Tapah Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut & Selama, Hilir Perak, Kerian dan PB Melayu Perak.






Add Comment