
PEMAIN ski remaja negara, Aaliyah Yoong Hanifah sedia untuk kembali beraksi selepas dua tahun ‘berehat’ berikutan pandemik Covid-19.
Kali terakhir atlet berusia 18 tahun itu beraksi di Moomba Masters di Melbourne, Australia pada 2020 sebelum penularan pandemik.
Apa yang menarik, Aaliyah yang baharu menerima Anugerah Biasiswa Bintang daripada Yayasan Sime Darby bakal beraksi di acara berprestij Moomba selama seminggu, sempena Festival Moomba dan hanya pemain ski dalam ranking teratas dunia dijemput untuk aksi yang bakal berlangsung pada 9-14 Mac ini.
Dia membuat penampilan sulungnya pada tahun 2013 di usia 9 tahun sekaligus menyaksikan tahun ke-10 penyertaan di Festival Moomba ini.
Aaliyah akan bermain ski dalam acara ‘tricks, ‘slalom’ dan ‘jump’ dalam kategori junior dan terbuka.
Pada tahun 2020 Aaliyah meraih pingat emas dalam acara ‘tricks’ junior.
“Saya sangat gembira dengan persiapan latihan untuk acara Moomba yang sangat dinanti-nantikan.
“Dua tahun adalah masa yang lama dan secara kebetulan, kejohanan terakhir saya juga adalah Moomba pada 2020.
“Saya pasti berharap tidak ‘berkarat’ setelah sekian lama tidak beraksi,” jelasnya.
Tahun ini merupakan penampilan terakhir Aaliyah dalam acara junior dan dia berharap dapat memberi fokus kepada hadiah utama dalam acara ‘tricks’ dan keseluruhan. Dia juga menyasarkan berada podium dalam acara lompat.
Bagi kategori terbuka, atlet muda itu menyasarkan untuk menduduki lima teratas dalam acara’tricks’ dengan prestasi terbaiknya sebelum ini hanya menduduki tempat ketujuh.
Add Comment