Bola Sepak

Empat lagi atlet olahraga layak ke Sukan SEA secara merit


EMPAT atlet olahraga kebangsaan berjaya layak secara merit untuk beraksi pada Sukan SEA Hanoi Mei ini berdasarkan pencapaian mereka pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-97 di Bukit Jalil.

Ketua Jurulatih Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, mereka yang mengungguli acara masing-masing itu terdiri daripada tiga atlet iaitu M. Avinesh Austin (800 meter), Farm Loong Deng (lontar peluru) dan Muhaizar Mohamad (marathon) serta Norliana Kamaruddin (heptatlon) yang merupakan satu-satunya atlet wanita menempah slot ke temasya dwitahunan itu, pada hari terakhir kejohanan tersebut pada Ahad.

Beliau berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan 22 atlet olahraga negara telah layak ke Vietnam bagi acara masing-masing menerusi kategori A (kos ditanggung sepenuhnya).

“Sepanjang dua hari kejohanan berlangsung, kami dapat lihat persaingan hebat terutamanya empat atlet yang telah layak ke Hanoi bagi kategori A walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan.

“Atlet muda juga nampaknya sedia memberi tentangan sengit kepada atlet senior dan dalam beberapa acara pada kejohanan ini dan secara tidak langsung memberi petanda baik untuk sukan olahraga kita,” katanya kepada media selepas kejohanan tamat.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil itu menyaksikan nama-nama besar seperti Muhammad Haiqal Hanafi (100m), Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar) serta dua atlet lompat tinggi Lee Hup Wei (lelaki) dan Yap Sean Yee (wanita) gagal melepasi had kelayakan ditetapkan ke Hanoi.

Bagaimanapun Mohd Manshahar berkata, peluang atlet yang tidak layak secara merit masih ada namun ia bergantung kepada penilaian Jawatankuasa Pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang akan bermesyaurat esok bagi menentu senarai akhir.

Mereka yang diberi peluang kedua ke Vitenam di bawah kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat). – Bernama


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading