Oleh : SUBKHI SUDARJI
JUARA Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC berkongsi mata dengan Selangor FC selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi Liga Super 2022 di Stadium KLFA, Cheras Jumaat malam.
Perlawanan yang bermula lewat 40 minit dari masa sebenar ekoran hujan sebelum perlawanan bagaimanapun tidak merencatkan persembahan menarik kedua-dua pasukan yang mula mengatur gerakan sebaik sahaja wisel perlawanan ditiup pengadil.
Selangor FC tidak menunggu lama untuk berada dihadapan apabila penyerang importnya, Hyuri Henrique menanduk masuk bola untuk menewaskan Kevin Mendoza pada minit ke-19 untuk mendahului tuan rumah 1-0.
Kegembiraan penyokong pelawat bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Zhafri Yahya menjaringkan gol penyamaan selang seminit kemudian yang nyata mengejutkan barisan kejurulatihan dan penyokong Selangor FC.
Pelawat sekali lagi berada dihadapan kali ini menerusi sepakan penalti disempurnakan Caion de Souza yang mudah menewaskan Mendoza buat kali kedua selang tujuh minit kemudian.
The City Boys bagaimanapun berjaya sekali lagi menyamakan kedudukan hasil jaringan Hadin Azman yang menanduk masuk hantaran lintang dari Ketua pasukan, Paulo Josue menewaskan penjaga gawang Selangor FC, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid untuk kedudukan 2-2.
Memasuki babak kedua giliran KL City FC pula berada dihadapan menerusi jaringan pemain tengah, Ryan Lambert yang melepaskan rembatan deras melepasi kawalan Khairuazhan pada minit ke-60 untuk tuan rumah mendahului pelawat.
Anak didik Bojan Hodak bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning ekoran kekasaran yang dilakukan pemain pertahanan tersebut.
Kelebihan itu dimanfaatkan Selangor FC yang terus menekan tuan rumah dan akhirnya mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Irfan Zakaria ketika pemain berkenaan cuba menghalang rembatan pemain lawan dalam kotak penalti.
Caion de Souza yang diamanahkan mengambil sepakan penalti berkenaan tidak berdepan masalah untuk menjaringkan gol peribadi kedua dan ketika buat pasukan pada minit ke-78.
Ketangkasan Mendoza mengagalkan beberapa percubaan selepas itu memastikan keputusan seri 3-3 kekal sehinggalah tamat perlawanan.
SEMENTARA itu dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pula, juara liga super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) seharusnya berterima kasih dengan jaringan penyerang importnya, Bergson da Silva untuk menang tipis 1-0 ke atas Penang FC.
Terikat seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama walaupun perlawanan dikuasai sepenuhnya tuan rumah, Harimau Selatan memperkemaskan corak permainan pada babak kedua.
Hasil usaha berterusan anak didik Benjamin Mora yang memberi tekanan kepada Penang FC akhirnya membuahkan hasil apabila Bergson menanduk bola hasil hantaran rakan sepasukan pada minit ke 70 untuk menewaskan Khatul Anuar Md Jalil yang bertindak cemerlang sebelum itu.
Walaupun tuan rumah terus menggandakan serangan untuk memburu gol kedua namun jaringan tunggal Bergson itu kekal sehinggalah tamat masa perlawanan yang pastinya melegakan Mora untuk aksi sulung Liga Super 2022.





Add Comment