Permotoran

Pemandu F1 Rusia Nikita dibenarkan berlumba di bawah bendera neutral FIA


Nikita berlumba di bawah bendera neutral FIA.

PERSEKUTUAN Automobil Antarangsa (FIA) mengesahkan pelumba Rusia Nikita Mazepin dibenarkan berlumba dalam Formula Satu (F1) di bawah bendera neutral FIA.

Pemandu pasukan Haas itu merupakan pelumba tunggal dari Rusia yang bakal berlumba di bawah bendera neutral, ‘tertakluk kepada komitmen khusus dan pematuhan kepada prinsip keamanan dan berkecuali politik FIA, sehingga notis selanjutnya’.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat tergempar Majlis Sukan Permotoran Dunia, yang dipengerusikan oleh presiden FIA Mohammed Ben Sulayem, pada Selasa.

Ben Sulayem, yang menggantikan Jean Todt sebagai presiden FIA pada Disember, berkata: “Seperti yang anda tahu, FIA turut memerhatikan perkembangan di Ukraine dengan sedih serta terkejut dan saya berharap untuk penyelesaian yang cepat dan aman terhadap situasi sekarang.

Grand Prix Sochi dikeluarkan daripada kalendar perlumbaan tahun ini.

“Kami mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan ingatan kami adalah untuk semua mereka yang menderita akibat peristiwa di Ukraine.”

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Automobil Ukraine, Leonid Kostyuchenk, telah menuntut FIA melarang semua pemandu Rusia dan Belarus daripada bersaing di luar negara mereka sendiri.

Pada Isnin, UEFA dan FIFA mengambil keputusan bersama untuk menggantung Rusia daripada semua perlawanan kelab dan kebangsaan ketika Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menggesa semua pertandingan sukan menyingkirkan atlet Rusia.

IOC mengesyorkan larangan serupa diperkenalkan oleh semua sukan, dengan kemungkinan pengecualian Paralimpik Musim Sejuk kerana temasya itu bakal berlangsung Jumaat ini di Beijing.

Bapa Nikita (kanan) merupakan jiutawan perniagaan baja di Rusia.

F1 juga telah pun membatalkan Grand Prix Rusia, yang dijadualkan berlangsung di Sochi pada 25 September depan, manakala Haas menghapuskan penjenamaan rakan kongsi gelarannya Uralkali pada hari terakhir ujian pramusim di Barcelona minggu lalu.

Nikita merupakan anak jutawan Dmitry Mazepin yang menguasai sebahagian daripada perniagaan baja di Rusia dan dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Vladimir Putin.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: