Bola Sepak

Liga M 2022 : KUFC terima suntikan baharu


 

KELAB Bola Sepak Kelantan United (Kelantan United) mendapat suntikan semangat menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia, bermula 5 Mac ini selepas dua syarikat tempatan iaitu Makmur Gold dan Ridzwan Hafizu Development Holdings Sdn Bhd tampil selaku penaja baharu.
Penajaan untuk tempoh semusim ini menyaksikan Kelantan United FC bakal menerima tajaan bernilai RM200,000 daripada dua syarikat berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Zul Ikman Wan Abd Aziz berkata, penajaan ini membuktikan penglibatan syarikat tempatan sangat penting dalam membantu merancakkan semula industri bola sepak negara.
“Kami berharap Kelantan United FC boleh menjadi satu platform yang mana boleh menarik minat lebih ramai peminat dan syarikat-syarikat tempatan lain untuk membantu bola sepak Malaysia secara amnya.
“Mengenai sasaran pula, seperti kita maklumkan awal musim ini kita masih letak sasaran dalam kelompok empat pasukan terbaik, layak ke Piala Malaysia dan mara ke pusingan 16 pasukan dalam kempen Piala FA” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood memberitahu, polisi kelab The Green Deers yang membariskan pemain bawah umur 25 tahun menarik minat syarikatnya menjalinkan kerjasama ini.
Menurutnya, penajaan ini merupakan permulaan atau penerokaan ke arah kerjasama strategik yang lebih kukuh bersama Kelantan United FC, pada masa depan.
“Rata-rata pemain Kelantan United FC dibarisi pemain bawah 25 tahun dan ini satu perkara positif untuk industri bola di Malaysia.
“Saya harap penajaan ini akan menjadikan pemain-pemain lebih bersemangat, berilah masa kepada kelab ini untuk menjejakkan kaki ke Liga Super.
“Saya yakin dan Makmur Gold cukup serius dalam hal ini dan kita akan susun yang terbaik. Soal gaji dan kebajikan kita akan jaga dan bantu sebaik mungkin demi memastikan industri bola sepak negara yang terkesan akibat pandemik kembali meriah,” katanya.
Bagi Pengarah Urusan Ridzwan Hafizu Development Holdings Sdn Bhd, Muhammad Ridzwan Hafizu Azhari, berharap perjanjian penajaan ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, pada tahun ini.
“Hasrat kita hendak lihat kelab ini melangkah lebih jauh lagi kalau boleh ke Liga Super musim depan,” jelas beliau.

Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: