Lain-Lain

Sukan Touch: Putrajaya muncul juara keseluruhan NTL 2021


Pasukan Putrajaya dinobatkan juara keseluruhan NTL 2021.

KEJOHANAN National Touch League 2021 (NTL 2021) yang dianjurkan oleh Malaysia Touch Association (MTA) melabuhkan tirainya pada 27 Februari lalu setelah berlangsung selama tiga minggu bermula 12 hingga 27 Februari 2022.

Presiden MTA, Ahmad Sufiani Johari berkata, penganjuran edisi pertama NTL 2021 berjalan lancar dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi pemain serta petugas kejohanan.

“Ujian kendiri dilaksanakan sebelum dan selepas perlawanan bagi memastikan tiada penularan Covid-19 dalam kalangan pemain, pegawai mahupun petugas kejohanan.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada laporan sama ada pemain ataupun petugas yang dijangkiti dan ini boleh dijadikan penanda aras bahawa sukan boleh dimainkan namun perlu dilaksanakan dengan pematuhan SOP seperti yang digariskan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sufiani memuji persatuan-persatuan negeri yang mengambil bahagian di dalam edisi sulung kejohanan kebangsaan tersebut yang secara tidak langsung mempopularkan sukan touch di negara ini.

“Komuniti sukan touch di Malaysia semakin berkembang dari Johor hingga ke Sarawak dengan penubuhan pelbagai pasukan dan kelab serta negeri-negeri untuk bernaung di bawah Persatuan Sukan Touch Malaysia (MTA). Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mendominasi hampir semua kategori namun kehadiran Pahang, Johor, Sarawak dan Melaka sama sekali tidak memberi laluan mudah kepada gergasi Lembah Klang.

“Malah, badan dunia Federation of International Touch (FIT) turut menyokong penuh penganjuran NTL 2021 dan memuji inisiatif MTA dalam melaksanakan pertandingan dengan terkawal,” tambahnya.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Lelaki 30 tahun, Lelaki 40 tahun, Lelaki 50 tahun, Terbuka Lelaki dan Wanita serta kategori Terbuka Campuran menyaksikan lapan pasukan negeri mengambil bahagian dalam kejohanan sulung yang diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Pahang, Melaka, Johor, Selangor, Putrajaya, Sarawak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur berentap di antara satu sama lain bagi merebut gelaran juara bagi setiap kategori dengan pingat emas, perak dan gangsa.

Minggu pertama kejohanan menyaksikan kategori Terbuka Wanita dan Lelaki 30 tahun berlangsung dalam suasana terkawal dan tanpa kehadiran penonton yang menyaksikan pasukan wanita Selangor menjadi penyumbang pingat emas pertama selepas menewaskan Pahang pada perlawanan akhir Terbuka Wanita. Pingat perak menjadi milik Pahang manakala Kuala Lumpur meraih gangsa.

Bagi Kategori Lelaki 30 tahun pula menyaksikan Putrajaya meraih emas mengenepikan pesaing utama, Selangor yang terpaksa berpuashati dengan pingat perak manakal Kuala Lumpur meraih gangsa.

Minggu kedua pula menyaksikan pertembungan hebat dalam kategori Terbuka Lelaki dengan Putrajaya dan Selangor selaku seteru tradisi bertemu di pentas akhir.

Berbekalkan semangat juang yang tinggi serta pemain-pemain berpengalaman, Putrajaya berjaya melepasi benteng Selangor sekaligus merangkul emas Terbuka Lelaki, diikuti Selangor di tangga kedua manakala Johor berjaya menempatkan diri dalam senarai pingat dengan meraih gangsa.

Kategori Lelaki 40 tahun kemudiannya menyaksikan kebangkitan Selangor untuk menambah bilangan pingat emas, manakala Negeri Sembilan meraih perak dan gangsa menjadi milik Johor.

Minggu ketiga kejohanan merupakan penentu bagi pasukan yang akan bergelar juara keseluruhan NTL 2021 yang menyaksikan Putrajaya meneruskan rentak kemenangan apabila menghampakan impian Selangor dengan mata 3-2 sekaligus dinobatkan juara keseluruhan NTL 2021.

Terdahulu, pasukan Negeri Sembilan A mencuri tumpuan apabila menewaskan Negeri Sembilan B dengan mata 4-2 dalam kategori Lelaki 50 tahun.

Pemain terbaik keseluruhan menjadi milik Syamim Ahmad Safawi (Putrajaya) dengan pencapaian tiga emas melalui kategori Lelaki 30 tahun, Terbuka Lelaki dan Terbuka Campuran.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: