Lain-Lain

80 peratus pemain muda galas tugas di Sukan SEA


SEBANYAK  80 peratus tenaga muda menjadi taruhan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk membantu skuad negara menyumbang pingat pada temasya Sukan SEA Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.

Penolong Setiausaha Satu PSM, Yusoff Ali berkata 24 pemain masing-masing 12 lelaki dan 12 wanita akan bertanding dalam sukan itu yang diletakkan dalam kategori A iaitu kos ditanggung sepenuhnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Katanya, senarai penuh pemain di bawah umur 23 tahun terbabit sudah dihantar kepada MOM bagi tujuan penilaian sebelum layak menyertai temasya dwitahunan itu.

“Senarai nama pemain belum dimuktamadkan kerana pemilihan masih boleh dibuat menerusi kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) yang sedang dijalankan ketika ini.

“Mereka bakal diletakkan bersama-sama pemain senior untuk memberi keseimbangan dalam perlawanan bagi menghadapi pasukan lebih hebat,” katanya.

Katanya, PSM juga mahu melihat pembabitan pemain muda itu pada Sukan SEA kali ini sebagai pemangkin bagi meneruskan kesinambungan skuad sepak takraw dalam mana-mana kejohanan untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang.
Menurutnya, pasukan lelaki akan bertanding dalam acara regu berpasukan dan beregu berpasukan, sementara pasukan wanita akan mewakili negara dalam acara regu berpasukan dan kuadran.
Merujuk kepada sasaran pingat, Yusoff berkata dua pingat perak dan satu gangsa disandarkan di bahu pasukan lelaki, sementara dua pingat gangsa menjadi sasaran untuk pasukan wanita.
Katanya, pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat di Bukit Jalil pada bulan Ramadan ini dan dikawal selia oleh pengarah kejurulatihan untuk menilai prestasi mereka. -BERNAMA–

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading