
PASUKAN Sukan SEA Hanoi 2021 mungkin perlu menunggu sehingga akhir April untuk mendapatkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 yang muktamad berdasarkan kepada situasi semasa menjelang temasya tersebut.
Penganjur dijangka akan mengeluarkan SOP serta langkah-langkah pencegahan hanya tiga minggu sebelum bermula kejohanan itu, yang bakal berlangsung pada 12-23 Mei ini dengan lebih banyak maklumat akan disediakan.
Dengan kira-kira 10,000 atlet dan pegawai dijangka bertanding dalam 40 sukan yang terdiri daripada 526 acara dalam sukan dwitahunan yang tertunda lebih setahun akibat pandemik Covid-19, penganjur kini menetapkan pertandingan akan diteruskan walaupun terdapat lonjakan bilangan kes harian baru-baru ini.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kecil Perubatan dan Anti-Doping Sukan SEA Ke-31, Nguyen Van Phu berkata, berdasarkan cadangan semasa Kementerian Kesihatan Vietnam (MOH), tiada kuarantin diperlukan semasa ketibaan untuk peserta, namun mereka perlu mematuhi peraturan ‘gelembung sukan’.
“Semua orang mesti diuji negatif sebelum ketibaan dan selepas tiba di Vietnam. Jadi sama ada kumpulan kecil atau besar, ia adalah kumpulan negatif (Covid-19). Mereka perlu mengikut pengangkutan yang disediakan untuk perjalanan, yang khususnya hanya penginapan ke tempat latihan dan pertandingan.
“Bagi kes-kes positif, mereka akan diasingkan dan dikehendaki melakukan ujian susulan sehingga diuji negatif semula, manakala kontak rapat akan dipantau dan diuji secara berterusan,” katanya semasa sidang media antarabangsa pertama Sukan SEA Vietnam, Hanoi secara fizikal dan maya pada Isnin.
Nguyen berkata, jawatankuasa penganjur telah meminta semua wilayah dan hotel terlibat dengan temasya itu, menyediakan bilik tambahan untuk tujuan pengasingan, dan pertandingan mungkin diadakan dengan jumlah penonton yang terhad tanpa atau tanpa penonton, berdasarkan situasi Covid-19 semasa. -Bernama





Add Comment