Lain-Lain

Silat: Nur Syafiqah sumbang emas pertama di Singapura


Nur Syafiqah menang emas Kejohanan Pencat Silat Asia Tenggara 2022.

PESILAT wanita negara Nur Syafiqah Hamzah berjaya mencatat kejayaan cemerlang dengan muncul atlet pertama negara menyumbang pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 di Singapura.

Edisi kelapan yang berlangsung di Arena OCBC itu menyaksikan Nur Syafiqah mempamerkan persembahan mengagumkan mengutip 9.985 mata menewaskan wakil tuan rumah Siti Nazurah Md Yusoff yang mengumpul 9.930 mata dalam acara Jurus Tunggal Puteri.

Jelas Nur Syafiqah, pencapaian yang dicatatnya ini adalah permulaan baik sebagai persiapan menjelang Sukan SEA, Vietnam Mei ini.

Aksi Nur Syafiqah yang menyumbang pingat emas. Foto: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia.

“Menang atau kalah belakang kira, tetapi saya hanya fikir untuk puaskan hati saya dan jurulatih memandangkan sudah lama tidak keluar bertanding.

“Saya hanya fikir untuk melakukan yang terbaik dan Alhamdullilah berhasil. Sasaran saya untuk Sukan SEA nanti, saya mahu berikan pingat,” jelas dalam satu klip video di Facebook rasmi Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, trio beregu puteri negara yang diwakili Merrywati Manuil, Fatin Ardani Zamri dan Siti Nur Khairunnisa Hail gagal meneruskan rentak kemenangan apabila sekadar merangkul pingat perak dengan 9.895 mata, tewas kepada tuan rumah.

Selain itu, juara dunia 2016 Mohd Al Jufferi Jamari berpeluang untuk menambah koleksi pingat emas negara selepas lawannya Tito Hendra Septa Kurnia Wijaya dari Indonesia disingkirkan daripada perlawanan peringkat separuh akhir susulan kekasarannya kepada pesilat negara ketika aksi kategori Senior Putera F.

Mohd Al Jufferi (kanan) mara ke final.

Mohd Al Jufferi akan bertemu pesilat dari Vietnam Vu Duc Hong dalam saingan akhir.

Saingan akhir satu lagi kategori Senior Putera G turut menyaksikan seorang lagi pesilat negara Mohd Fauzi Khalid juga bertemu lawan dari Vietnam.-Bernama


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: