
PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menggantung penyertaan pasukan Rusia serta kelab dalam semua pertandingan antarabangsa berkuatkuasa serta-merta.
Sebelum ini FIFA dikecam kerana tidak mengambil langkah sewajarnya berikutan tindakan Rusia melakukan pencerobohan serangan ke atas Ukraine sejak Khamis lalu.
Namun pada Isnin FIFA mengesahkan bahawa Rusia tidak akan beraksi dalam saingan play-off kelayakan Piala Dunia bertemu Poland pada 24 Mac ini.
Ini juga bermakna pasukan Rusia tidak disenaraikan pada Kejuaraan Euro Wanita 2022 di England Julai ini.

Keputusan yang dibuat FIFA dan UEFA itu dianggap sesuatu yang jarang berlaku dan menunjukkan keputusan perpaduan dalam badan induk bola sepak ini.
Selain melibatkan pasukan kebangsaan Rusia, kelab Spartak Moscow turut disingkirkan daripada Liga Europa sekaligus menyaksikan RB Leipzig mara ke suku akhir, manakala UEFA juga menamatkan perjanjian penajaan bernilai £33.5 juta setahun dengan syarikat tenaga Rusia, Gazprom.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengesyorkan larangan serupa diperkenalkan oleh semua acara sukan, namun kemungkinan pengecualian kepada pasukan Rusia dalam Sukan Paralimpik Musim Sejuk memandangkan ia sudah hampir berlangsung di Beijing Jumaat ini.
Selain itu, acara sukan dan liga domestik Rusia dibenarkan untuk diteruskan.





Add Comment