Bola Sepak

TCH dalam radar Sarawak United ganti Ela?


Posa Majais

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais mendedahkan B.Sathianathan akan dilantik jurulatih sementara untuk skuad The Crocs.

Sathianathan kini memegang jawatan Pengarah Teknikal FAS akan mengambil alih tugas E.Elavarasan yang dilantik sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada jurulatih Ela kerana dipilih secara rasmi sebagai penolong jurulatih skuad negara.

“Sarawak United turut gembira dengan pelantikan tersebut dan melepaskannya kerana untuk memikul tanggungjawab kepada negara.

“Jadi buat masa sekarang coach Sathia akan mengambil alih buat sementara waktu dan saya akan mengadakan perbincangan lanjut akan dibuat selepas saya kembali ke Malaysia,” jelasnya ketika dihubungi Cakap Sukan, Jumaat.

Ditanya mengenai kemungkinan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berada dalam senarai pengganti pengendali baharu, Posa memberitahu perkara tersebut akan dibincangkan bersama Sathianathan sebaik sahaja beliau kembali ke Malaysia.

Tan Cheng Hoe

Posa yang juga pengurus skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan kini masih di Kemboja selepas disahkan positif Covid-19 selepas berakhirnya aksi skuad negara di peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF B-23.

“Buat masa sekarang belum ada ‘plan’ lagi. Mungkin selepas berbincang dengan Sathia, kita akan putuskan.

“Lagipun bagi saya seseorang jurulatih baharu tidak mahu mengambil alih tugasan di tengah ‘jalan’. Banyak perkara yang perlu diinginkan seperti pemilihan pemain dan sebagainya.

“Macam coach Sathia dia sudah lama dan sudah tahu mengenai pasukan,” tambahnya.

Selain itu, mengenai perkembangan kesihatan di Kemboja, Posa memberitahu seramai 11 orang termasuk pemain dan pegawai masih dalam kuarantin.

“Seorang pemain sudah pulih, jadi kini tinggal lapan pemain yang masih positif bersama dua pegawai termasuk saya.

“Keadaan saya sedikit demam dan batuk hari ini. Petang nanti akan membuat ujian swab lagi,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading