
Oleh: SURYATI MOHD NOR
PENGARAH Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Scott O’Donell mengakui pasukan Bawah 23 Tahun negara yang beraksi pada Kejuaraan Piala AFF B-23 kurang ketenangan dalam penguasaan bola.
O’Donell yang menyertai keluarga FAM sebagai pengarah teknikal Januari lalu mendedahkan bahawa pada perlawanan pertama ketika bertemu Laos, pemain-pemain mendominasi penguasaan bola namun, kurang ketenangan ketika aksi kedua bertemu lawan yang sama.
“Sebab itulah kejohanan ini sangat penting untuk menguji pemain di pentas antarabangsa. Dan jelas sekali situasi Covid-19 tidak membantu perkara itu,” jelasnya pada Selasa.

Kekalahan kepada Laos secara agregat 1-4 menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney itu pulang awal, gagal ke saingan separuh akhir dan Laos memakili Kumpulan B mara ke slot empat pasukan terbaik.
Bagi kumpulan ini, Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) mengadakan dua kali perlawanan antara Malaysia dan Laos memandangkan dua lagi pasukan Indonesia dan Myanmar menarik diri berikutan penularan Covid-19 dalam pasukan.
Sementara itu, mengulas situasi pemain-pemain B-23, O’Donell memberitahu pasukan ini pada asasnya adalah gabungan daripada kumpulan 50 pemain dalam kategori umur yang dikenal pasti oleh Maloney sepanjang tahun 2021.
O’Donell berkata pihaknya bersetuju bahawa objektif pasukan itu adalah untuk memilih beberapa pemain yang tidak pernah diberi peluang beraksi di kejohanan antarabangsa.

“Kami mengambil kira hakikat bahawa kebanyakan pemain dari kategori umur yang telah memantapkan diri dalam pasukan Liga Super dan Liga Perdana tidak dilepaskan daripada pasukan masing-masing kerana kejuaraan itu berada di luar jendela FIFA.
“Daripada skuad yang mara ke Kejohanan Asia Bawah 23 Tahun di Uzbekistan selepas berunding fasa kelayakan di Ulaanbaatar, Mongolia Oktober lalu, Maloney memilih beberapa pemain daripada kesebelasan utama termasuk Harith Haiqal Adam Afkar, Azrin Afiq Rusmini dan Nur Azfar Fikri Azhar.
“Kumpulan 50 pemain yang dikenal pasti oleh Maloney tahun lalu termasuk Arif Aiman Hanapi, Luqman Hakim Shamsuddin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Ramadhan Saifullah, Danial Asri, Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Nathaniel Shio Hong Wan, Azri Abdul Ghani dan Rahadiazli Rahalim.
“Daripada nama-nama tersebut, Arif Aiman, Luqman, Mukhairi, Ramadhan dan Akhyar sudah pun bertaraf antarabangsa,” jelasnya.
Tambah O’Donell, kumpulan pemain-pemain ini masih mempunyai peluang untuk ke Uzbekistan (Piala Asia B-23).

“Mereka masih berpeluang untuk pemilihan ke Uzbekistan, tertakluk kepada perbincangan lanjut Maloney bersama jurulatih Kim Pan Gon yang akan membimbing Harimau Malaya ke Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.
“Turut layak untuk pemilihan untuk aksi pada Jun ini ialah Nik Akif Syahiran Nik Mat, Akhyar Rasid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak,” jelas O’Donell.

Selain itu, pada aksi di Kemboja itu juga menyaksikan Maloney memberi peluang buat kali pertama kepada V.Ruventhiran, Zainal Abidin Jamil dan A. Selvan beraksi di pentas antarabangsa.






[…] “Jadi objektifnya adalah menyenaraikan pemain-pemain yang menyerlah dalam Liga Super dan Liga Premier tetapi kurang pendedahan. Sebab itulah kejohanan ini sangat penting untuk menguji pemain di pentas antarabangsa. Dan jelas sekali situasi Covid-19 tidak membantu perkara itu,” kata O’Donell. […]