Bola Sepak

Piala AFF: Skuad B-23 ikut jejak ‘abang’ tersingkir awal


Oleh : SUBKHI SUDARJI

SKUAD Harimau Muda mengikuti jejak langkah ‘abang senior’ apabila tersingkir awal dałam kejohanan Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas kecundang 0-2 di tangan Laos pada aksi kedua peringkat Kumpulan B, di Stadium Nasional Morodok Techno, Isnin malam.

Kekalahan 0-2 pada aksi ini juga menoktahkan perjuangan skuad Bawah 23 tahun negara dalam saingan dengan agregat 4-1.

Turut dengan misi membalas dendam ekoran kekalahan 1-2 pada aksi Jumaat lalu, anak buah Brad Maloney memerlukan kemenangan sekurang-kurang dua gol tanpa balas untuk melangkah ke separuh akhir.

Namun sebaliknya berlaku apabila Laos dilhat lebih agresif dan merbahaya menerusi serangan balas seolah-olah mereka yang ketinggalan dan memerlukan kemenangan besar.

Ketua pasukan Laos, Bounpachan Bounkong nyata memberikan masalah buat kem B23 negara apabila seawal minit ke-7 hampir berjaya menewaskan penjaga gawang Malaysia, Syed Muhammad Nasulhaq Syed Bidin namun tolakannya gagal menemui sasaran.

Tersentak dengan percubaan lawan, Malaysia mula mengatur gerakan memburu gol namun kawalan bola dan hantaran lemah memberikan peluang pemain Laos mematahkan serangan berkenaan.

Boungkong sekali memiliki peluang menerusi rembatannya namun sedikit tersasar ketika barisan pertahanan negara lebih banyak melihat bola berada dalam kawalan kaki pemain berkenaan yang sentiasa berada dimana-mana.

Laos akhirnya memperolehi gol pertama menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Boungkong pada minit ke-43 yang tepat ke penjuru gawang Malaysia menewaskan Syed Muhammad Nasulhaq.

Memasuki babak kedua, corak permainan Harimau Muda dilihat sedikit berbeza dengan kawalan bola yang lebih kemas selain berjaya menembusi pertahanan Laos.

Penjaga gol Laos, Keo Oudone Souvannasangso yang dilihat lebih banyak berehat pada separuh masa pertama mula diuji menerusi percubaan pemain gantian, Mohd Nureizkhan Isa Japar pada minit ke-57 yang berjaya ditangkap kemas penjaga gawang berkenaan.

Bermula dari serangan tersebut, Harimau Muda dilihat mula mendapatkan rentak dengan beberapa percubaan yang tepat ke dakapan penjaga gawang lawan selain kekentalan benteng pertahanan menafikan impian untuk gol pertama Malaysia.

Ketika Malaysia ghairah memburu gol penyamaan nasib malang menimpa apabila Laos berjaya menjaringkan gol kedua menerusi jaringan penyerang gantian, Souksakhone Bouaphaivanh pada minit ke-85.

Keputusan 2-0 itu sehinggalah tamat masa perlawanan dengan menyaksikan Malaysia gagal mara ke peringkat separuh akhir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: