
Oleh: SURYATI MOHD NOR
KETUA Jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23) Brad Maloney menyokong baik keputusan yang dibuat Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) untuk mengadakan dua kali perlawanan bertemu Laos.
Jadual terbaharu bagi saingan Piala AFF B-23 Kumpulan B kini hanya melibatkan Malaysia dan Laos selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri berikutan jangkitan Covid-19 dalam pasukan.
Susulan daripada itu AFF membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan Malaysia menentang Laos sebanyak dua kali iaitu pada esok (18 Feb) dan Isnin ini.
“Keputusan yang baik dibuat dan ia kelebihan serta adil buat kami. Ia juga lebih baik daripada bermain hanya satu perlawanan,” jelasnya ketika sidang media secara atas talian pada Khamis.

Mengenai perlawanan menentang Laos esok (Khamis), Maloney mengakui bahawa pasukan lawan bukan mudah.
“Cabaran yang bukan mudah. Ketua jurulatih (Michael Weiss) melakukan susunan yang baik dari segi fizikal dan keputusan baik bertemu Mongolia sebelum ini.
“Kita akan lihat esok dan Isnin ini.
“Manakala semua pemain berada dalam keadaan sihat dan bersemangat untuk turun bermain serta bersedia dipilih dalam barisan utama bila-bila masa,” tambahnya.
Hanya pemenang tiga kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir yang akan berlangsung 24 Februari ini.
Manakala aksi final berlangsung pada 26 Februari.





Add Comment