SELEPAS juara bertahan Indonesia menarik diri dari kejohanan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Kemboja susulan pemainnya dijangkiti Covid-19 kini giliran Myanmar pula mengambil langkah yang sama.
Keputusan penarikan diri ini diambil Myanmar sebelum sepak mula menentang Malaysia yang dijadualkan jam 5 petang ini.
Penarikan diri dari kejohanan ini dibuat Persekutuan Bolasepak Myanmar (MFF) susulan komplikasi Covid -19 yang melanda pasukan kendalian Velizar Popov.
Susulan keputusan itu, perlawanan pertama membabitkan skuad kebangsaan B-23 dan Myanmar berpihak kepada Harimau Muda apabila disahkan menang tanpa bertanding.
Presiden AFF, Mejar Gen Khiev Sameth menerusi satu kenyataan berkata, dukacitanya dimaklumkan pasukan Myanmar terpaksa menarik diri daripada Kejuaraan B-23 AFF 2022.
“Kami memahami pasukan sememangnya bersemangat untuk memulakan kempen dan penyokong juga tidak sabar untuk menyaksikan pasukan masing-masing.
“Namun atas dasar kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terbabit, kami faham keputusan yang terpaksa diambil.
“Kami mendoakan mereka yang dijangkiti dapat sembuh dengan segera,” katanya sebentar tadi.
Add Comment