Antarabangsa

Piala Kelab Dunia: Chelsea bertemu Palmeiras di pentas akhir


Lukaku menjaringkan gol tunggal perlawanan menentang Al-Hilal.

Oleh: JJFIRDAUS

JARINGAN Romelu Lukaku pada babak pertama sudah cukup untuk membawa Chelsea ke perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA selepas menewaskan Al-Hilal 1-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Mohammed bin Zayed, Abu Dhabi.

Lukaku menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-32 selepas hantaran lintang Kai Havertz terkena pertahanan Al-Hilal dan jatuh di hadapan penyerang Belgium itu untuk beliau mudah menolak masuk dan menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa jaringan.

“Semua gembira apabila Lukaku menjaringkan gol. Beliau bekerja keras dan bertarung hebat ketika perlawanan,” kata pembantu jurulatih Zsolt Low yang memangku tugas Thomas Tuchel yang diasingkan kerana dijangkiti Covid-19.

“Atas sebab itulah kami sentiasa memberi beliau peluang. Kami mengharapkan sedikit tuah untuk menjaringkan gol hari ini. Kini beliau gembira, kami juga gembira dan berharap beliau mampu mengulanginya di final.”

Chelsea bakal bertemu Palmeiras di pentas akhir.

Dalam aksi final pada nanti, Chelsea bakal berhadapan juara Copa Libertadores musim lalu, wakil Brazil, Palmeiras yang berjaya menewaskan kelab Mesir Al Ahly 2-0 untuk layak ke final.

Kelab London ini pernah layak ke final pada 2012 lalu tetapi tewas juga kepada kelab Brazil, Corinthians 1-0 di Jepun, yang juga kali terakhir juara kejohanan ini bukan dari Eropah.

Manakala dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam, kelab Mexico Monterrey berjaya mengatasi kelab UAE Al-Jazira 3-1 untuk juara kelab CONCACAF itu sekadar berpuas hati di tangga kelima.

Al-Hilal dan Al-Ahly pula akan bertarung dalam perlawanan penentuan tempat ketiga keempat pada Sabtu sebelum Chelsea dan Palmeiras berentap di final.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: