Bola Sepak

Kelibat Daniel Ashraf makin menyerlah bersama Harimau Kumbang


Kehadiran Danial dalam kesebelasan utama Penang FC sering dikawal ketat oleh pemain lawan sekiranya pemain tersebut diturunkan. FOTO PENANG FC

Oleh: AMMAR HAZIQ

PENYERANG Penang FC, Danial Ashraf Abdullah mempunyai keyakinan lebih tinggi pada musim 2022 berbanding musim lalu biarpun bakal berdepan saingan sengit merebut kesebelasan utama Harimau Kumbang.

Melakukan 19 penampilan bersama skuad kendalian Thomas Trucha pada musim lalu, ia adalah pencapaian yang boleh dipuji kerana 11 perlawanan daripadanya, mereka keluar sebagai pemenang perlawanan.

Dalam tempoh tersebut, pemain berusia 25 tahun itu diturunkan sebagai pemain utama dalam 10 perlawanan dan sepanjang musim ini telah menjaringkan sebanyak empat gol.

Usaha gigih pada musim pertama bersama Penang FC selepas berhijrah dari pasukan Kelantan boleh dibanggakan apabila menjadi sebahagian skuad yang meletakkan Penang FC di tangga ketiga terbaik Liga Super 2021 selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA).

“Keyakinan saya pada tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lepas. Sudah tentu semua pemain mahu merebut kesebelasan utama dalam pasukan ini. Sekarang saya akan cuba buat yang terbaik pada latihan pasukan sepanjang pra musim 2022 ini,” katanya.

Danial Ashraf Abdullah

Terbaru, pemain yang dilihat mempunyai pontensi besar ini telah membantu Penang FC mengikat Terengganu FC 1-1 melalui jaringan penalti pada Kejohanan Bolasepak Empat Penjuru Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2022.

Jelas Danial, tempoh pra musim yang sedang dilalui mereka ini menjadi masa sesuai untuk membentuk keserasian terutamanya bersama pemain-pemain baharu yang dibawa masuk pada musim 2022 sebelum aksi pertama Liga Super bertemu JDT pada 4 Mac ini.

“Bagi saya, kualiti pemain-pemain yang ada pada tahun ini lebih kurang sama dengan tahun lepas. Tetapi kami semua perlukan masa lagi untuk mencari keserasian sebelum bermulanyaa perlawanan sebenar,” ujarnya.

Bakat Danial mula menyerlah bersama pasukan Kelantan U19 dan membantu pasukan menjuarai Liga Belia pada 2014 dengan menjaringkan gol bagi menewaskan PDRM U19 pada perlawanan akhir.

Dia kemudiannya telah dipinjamkan kepada Harimau Muda C namun kembali semula ke Kelantan selepas program tersebut dibatalkan atas beberapa sebab.

Danial kemudiannya dinaikkan pangkat ke Kelantan FA U21 pada 2016 dan membantu pasukannya memenangi Piala Presiden pada musim itu dengan menjaringkan gol pada perlawanan akhir menentang T-Team U21. Dia menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan itu dengan 19 gol.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: