
Oleh: AMMAR HAZIQ
TINDAKAN Adib Raof yang cuba meleraikan insiden pergaduhan antara pemain Penang FC dan Terengganu FC II menyaksikan telah disalah erti sebagai satu bentuk provokasi sebelum mengalami kecederaan serius di bahagian hidung akibat tindakan pemain lawan.
Kelab tersebut dalam satu kenyataan berkata, tindakan agresif tersebut menyebabkan beberapa pemain-pemain Penang FC hilang kawalan bagi membalas balik tindakan fizikal tersebut.
“Kita berharap melalui ujian MRI yang akan dijalankan ke atas pemain berkenaan, tidak melibatkan kecederaan yang boleh menyebabkan beliau tidak dapat bermain dalam mana-mana perlawanan penting dalam tempoh masa yang lama,” katanya melalui Facebook rasminya pada Khamis.
Mengulas lanjut, pihak pengurusan Penang FC telah pun mengarahkan Pengarah Teknikal dan Ketua Jurulatih untuk menyediakan laporan penuh untuk tujuan penilaian, dan seterusnya membantu pihak penganjur, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau pun Malaysian Football League (MFL) jika terdapat keperluan membuat penyiasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.
“Pengurusan tidak mendapatkan gambaran tentang persediaan keselamatan dan ketenteraman awam di dalam dan luar Stadium jika perlawanan diteruskan. Kami perlu membuat suatu pendirian yang tegas apabila berada dalam situasi berkemungkinan terdapatnya kecenderungan keadaan luar kawalan sekiranya perlawanan diteruskan.
“Khuatir dari aspek keselamatan para pemain kedua-dua pasukan, khasnya dalam mengelak sebarang kecederaan atau situasi memudaratkan dalam dan luar perlawanan, pengurusan telah meminta Pasukan Penang FC memberikan laluan mudah kepada pasukan tuan rumah untuk memenangi perlawanan tersebut.
“Tindakan ini sebagai tanda semangat kesukanan dan bagi meraikan kejohanan yang berprestij bagi negeri Terengganu,” ujarnya menyaksikan TFC diberikan kemenangan percuma dan muncul juara Kejohanan Empat Penjuru Piala MB Terengganu 2022.
Penang FC berkata, para pemain Penang FC diingatkan sentiasa lebih tenang dalam pelbagai situasi dan sentiasa mematuhi peraturan perlawanan selepas berdepan situasi rakan sepasukan diserang atau dicederakan secara tidak bijaksana oleh mana-mana pemain lawan perlawanan.
Menurutnya, pihaknya tidak bercadang memanjangkan perkara ini dan mengambil maklum tentang isu kekeliruan dan tindakan agresif dalam situasi tegang yang telah menyebabkan tindakan fizikal ke atas beberapa pemain Penang FC, sehingga menyebabkan kecederaan di muka salah seorang pemain Penang FC.
“Sama-samalah kita berdoa dan berharap kecederaan bahagian hidung yang dialami oleh Adib Raof tidak berpanjangan melalui ujian MRI yang akan dijalankan pada hari ini. Kita juga berdoa agar pemain TFC II iaitu Ridzuan Razali juga tidak mengalami kecederaan yang serius akibat insiden berkenaan.
“Kepada para penyokong Penang FC, diucapkan terima kasih di atas segala sokongan padu yang diberikan dan pihak Pengurusan memohon maaf di atas keputusan berat yang perlu dibuat pada malam tadi demi keselamatan semua pemain Penang FC dan Terengganu II,” katanya.







Add Comment