Bola Sepak

Liga M3 kembali hangatkan arena bola sepak tanah air


Oleh: JJFIRDAUS

SELEPAS tidak dipertandingkan selama dua musim akibat penularan pandemik Covid-19, Kempen Liga M3 bakal kembali pada 12 Februari ini dengan 20 pasukan disahkan bersaing bagi merebut dua slot ke Liga Premier Malaysia 2023 dan hadiah wang tunai bernilai RM100,000.

Untuk edisi 2022 ini, kesemua pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlawanan dijalankan secara timbal balik sebelum empat pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.

Untuk peringkat suku akhir dan separuh akhir pula, perlawanan akan dijalankan secara kalah mati dengan kiraan agregat dari dua perlawanan dan pemenang akan ke final yang dijadualkan pada 4 September.

Dengan sepak mula kurang dua minggu sahaja lagi, beberapa pasukan seperti Kinabalu Jaguar, BRM FC, Real Chukai, Manjung City, Tun Razak City, Tok Janggut Warriors, dan Respect FC sudah menguji kekuatan pasukan dengan berdepan kelab-kelab dalam saingan Liga Super dan Liga Premier.

Ini membuktikan kesemua kelab begitu bersemangat mempersiapkan pasukan bagi menghadapi liga dan seterusnya layak ke saingan Liga Premier Malaysia tahun 2023.

Liga M3 tahun ini juga mendapat perhatian bekas-bekas pemain yang mempunyai nama besar menyertai beberapa kelab yang bertanding. Ini sekaligus menaikkan nilai liga dan menarik perhatian para penyokong yang pasti merindui aksi mereka.

Pasukan BRM FC turut disertai dengan pemain-pemain berpengalaman.

Dua bekas pemain kebangsaan, Nazrin Nawi dan Hafiz Kamal menyertai Respect FC manakala sebuah lagi pasukan dari Perak, BRM FC menandatangani Azmeer Yusof, Fitri Omar dan Ahmad Fakri Saarani.

Kelab yang berpangkalan di Kelantan, Tok Janggut Warriors pula dibarisi Khairul Izuan Rosli d Nizad Ayub manakala Azmizi Azmi dan Azizi Mat Rose disunting Perlis United yang menyaksikan kelab dari Perlis membuat penampilan semula dalam Liga Malaysia.

Bekas pemain Negeri Sembilan Shahurain Abu Samah dan Yosri Derma Raju pula akan bermain untuk SAINS FC sementara bekas pemain Pahang, Azidan Sarudin dan penjaga gol berpengalaman Syed Adney Syed Hussein akan menjadi tulang belakang Tun Razak FC.

Selain menjadi medan melahirkan bakat-bakat baharu untuk mewarnai arena bola sepak tempatan, Liga M3 ini juga dilihat mampu menarik minat sokongan komuniti apabila banyak pasukan berpangkalan di daerah atau bandar-bandar di seluruh negara.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d