Bola Sepak

Jersi kedua Selangor FC penuh inspirasi


Selangor FC memperkenalkan jersi kedua mereka yang berwarna hijau teal, fuschia dan ivory.

Oleh: JJFIRDAUS / KHAIRUL AKMA

SKUAD Merah Kuning, Selangor FC memperkenalkan jersi kedua mereka yang berwarna hijau teal, fuschia dan ivory serta barisan pemain musim 2022 dalam acara Let’s Cope With A Neon Hope di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

Acara bersempena Hari Kesedaran Kanser Sedunia 2022 itu juga mempunyai pelbagai acara sampingan termasuk gerai pemeriksaan awal kanser dan juga gerai aktiviti penaja dengan penaja utama TDC Holdings menjadi tumpuan utama.

Jersi kedua ini mendapat inspirasi dari kejayaan Brendan Gan melawan kanser dan lambang riben merah yang menggambarkan solidariti dalam perjuangan mengatasi kanser dan sebarang cabaran hidup menjadi logo di bahagian belakang jersi.

Warna hijau teal pula adalah lambang harapan dan permulaan yang baharu manakala fuschia pula memberi maksud keyakinan, keberanian dan kebersamaan dan ivory pula membawa maksud kesucian dan ketenangan dalam perjuangan.

Turut diperkenalkan dalam acara ini adalah kesemua 30 pemain pasukan utama Selangor FC dan juga barisan kejurulatihan dan teknikal yang diketuai Ketua Jurulatih dari Jerman, Michael Fiechtenbeiner.

Dr Johan Kamal Hamidon

Bercakap kepada media dalam sidang media, Ketua Pengarah Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata sasaran Selangor FC untuk musim 2022 adalah untuk layak ke kejohanan Asia tahun 2023.

“Kami mensasarkan untuk layak ke kejohanan Asia. Untuk layak ke Asia, kami mensasarkan untuk menduduki dua tempat teratas liga ataupun menjadi juara Piala FA,” kata Dr Johan kepada pihak media.

Sementara itu, Ketua Jurulatih, Michael Fiechtenbeiner pula senada dengan kenyataan Dr. Johan dan beranggapan Selangor FC bakal menhadapi kempen yang mencabar musim ini.

“Kejayaan Brendan Gan melawan kanser adalah contoh terbaik beliau sebagai pejuang. Semangat ini penting buat semua pemain dan berharap dapat menterjemahkan semangat ini di dalam padang,” jelas Fiechtenbeiner.

Bagi Ketua Pengarah Eksekutif TDC Holdings, Hafiz Hiew pula kerjasama dengan Selangor FC adalah bertujuan untuk membuktikan kepada seluruh negara bahawa kanser boleh dipulihkan dan menjadikan cerita Brendan Gan sebagai inspirasi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: