Bola Sepak

“10 minit terkedu selepas tahu ada kanser…” – Brendan Gan


Oleh: JJFIRDAUS / KHAIRUL AKMA

“SAYA terkedu dan tidak tahu apa hendak diperkatakan kira-kira 10 minit selepas doktor mengesahkan saya menghidap kanser dan dunia saya berubah 360 darjah.” luah Brendan Gan kepada penyokong Selangor dalam sesi perkongsian sempena Hari Kesedaran Kanser Sedunia 2022.

Brendan,34, berkongsi pengalamannya ketika berdepan dengan kanser kepada semua yang hadir dalam program ‘Let’s Cope With A Neon Hope’ yang dianjurkan oleh Selangor FC di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada Jumaat.

“Saya bertuah kerana berjaya melawan penyakit ini dan saya berterima kasih kepada kelab, rakan-rakan sepasukan, penyokong dan pihak media yang banyak memberikan saya kekuatan disaat saya mengalami kesukaran.

“Walaupun hanya teks apa khabar dari rakan-rakan sudah cukup membantu saya untuk berjuang dan sejujurnya ia banyak memberikan saya semangat dan walaupun kecil, itulah pentingnya sokongan dari rakan-rakan” kongsi kapten Selangor FC itu.

“Saya juga bertuah kerana melakukan pemeriksaan lebih awal kerana menurut doktor yang merawat saya, jika saya terlambat membuat pemeriksaan, saya mungkin berada dalam keadaan yang lebih buruk,” jelas pemain tengah berusia 34 tahun itu.

Brendan berkongsi pengalaman mengidap kanser dalam program ‘Let’s Cope With A Neon Hope’  yang dianjurkan Selangor FC pada Jumaat.

Jelasnya antara saat sukar pada awal dimaklumkan mengidap kanser apabila dia tidak tahu bagaimana hendak menyampaikan berita sedih itu kepada isteri dan anaknya yang ketika itu berada di luar negara dan juga sukar untuk memaklumkan kepada ibu bapanya menerusi platform ‘Facetime’.

Bagaimanapun kini Brendan sudah kembali berlatih bersama pasukan utama Selangor FC dan bersemangat untuk membantu kelabnya menghadapi cabaran Liga Malaysia musim 2022 ini.

Brendan juga menyeru kepada para penyokong terutama kaum lelaki agar bersikap lebih terbuka dan merendahkan ego untuk membuat pemeriksaan doktor supaya dapat mencegah kanser lebih awal sebelum menjadi lebih parah.

Sokongan yang tidak berbelah bahagi dari rakan sepasukan dan rakan bola sepak seluruh negara banyak membantu pemain kebangsaan ini untuk terus cekal dan melawan penyakit yang dihadapi.

Acara Let’s Cope With A Neon Hope ini dihadiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Selangor, Raja Muda Selangor (RMS)  Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dan juga Menteri Kesihatan,  Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: