Bola Sepak

Dari Kelantan, Lembah Klang dan ke Johor… Siapakah pelengkap ‘resepi tempatan’ Kim Pan-gon?


Oleh: MOHD FARIQ

TEKA-teki siapakah bakal menjadi pembantu jurulatih berstatus tempatan kepada Kim Pan-gon seakan-akan menjadi ‘peraduan’ dalam kalangan penyokong tegar bola sepak negara.

Tatkala media massa sedang berusaha keras mencari identiti sebenar jurulatih tempatan yang bakal dilantik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), penulis bagaikan dapat sedikit ‘mencium’ calon-calon berkenaan.

Umum mengetahui bahawa FAM telah melantik Pan-gon sebagai pengganti kepada Tan Cheng Hoe pada bulan lalu selepas kegagalan pasukan Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2020 di Singapura.

Justeru harapan menggunung sedang bersandar di bahu jurulatih kelahiran Korea Selatan itu dalam misi mengangkat mutu dan kualiti pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Namun ini adalah peluang terbaik buat FAM untuk memanifestasikan fikiran dan mengenal pasti calon terbaik tempatan dalam kelompok inteligensia ini.

Kim Pan-gon

Sudah pasti penyokong-penyokong berharap jurulatih tempatan yang bakal dilantik ini dapat menimba ilmu sebaik mungkin ketika digandingkan dengan Pan-gon.

Setahu penulis bahawa calon-calon dalam senarai FAM itu adalah kombinasi dua jurulatih muda dan tiga pengendali senior tempatan di mana salah seorang jurulatih itu dilaporkan telah menolak tawaran tersebut.

Ada calon yang berasal dari Lembah Klang, ada yang pernah berkhidmat bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) ada yang pernah melatih dua atau tiga pasukan Liga Malaysia, ada yang dikatakan muda dan amat berpotensi.

Yang muda ‘itu’ pun bukan calang-calang pengalamannya sebagai jurulatih dengan profil menarik membentuk pasukan muda sebelum ini, malah kredibilitinya bersama sebuah pasukan Liga Malaysia musim lalu kelihatan berjalan lancar.

Senang cerita bekas penyerang dan bekas pertahanan negara tersenarai dalam calon-calon ini dan siapakah mereka? Kita tunggu dan lihat.

Skuad Harimau Malaya 2021.

Apapun tak mengapa kerana penulis percaya kepada mana-mana calon yang terpilih nanti sudah pasti akan memikul tanggungjawab besar serta amanah ini dalam memastikan skuad Harimau Malaya kembali mengaum dalam peta bola sepak dunia.

Sukar tetapi tidak mustahil kerana jika kita berusaha dan merancang, penulis percaya kombinasi jurulatih asing dan tempatan mampu memberikan sinar baharu nanti.

Apapun, jurulatih tempatan harus bekerja lebih keras dengan mengikut trend semasa, kemas melakukan perancangan, lebih intelektual dan berketerampilan serta sentiasa menuntut ilmu bersama Pan-gon akan datang.

Akhir kata daripada penulis, bersatu teguh bercerai roboh. Ayuh buka buku baharu dan sama-sama menyokong pasukan kebangsaan.

Demi lencana di dada!

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: