Lain-Lain

Cherating Surf Festival kumpul peluncur-peluncur terbaik Malaysia


LEBIH kurang 100 peluncur terbaik dari seluruh negeri berkumpul menyertai Cherating Surf Festival yang membuka tirainya hujung minggu ini.

Festival yang dianjurkan oleh Cherating Surf Club buat julung kalinya ini menyaksikan ramai peluncur muda mengambil bahagian menunjukkan bakat mengharungi arus ombak di Cherating ini termasuk dari Pahang, Terengganu, Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan juga Sabah yang berada menghantar 20 peserta ke festival ini.

Seperti sedia maklum Cherating sememangnya terkenal dengan ombak yang panjang dan sentiasa menjadi tumpuan peluncur-peluncur antarabangsa untuk datang ke sini menyertai pertandingan termasuk dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Australia, Maldives dan Jepun sepanjang musim tengkujuh Oktober hingga Mac sebelum ini.

Cherating Surf Festival yang dianjur ini mendapat sokongan bersama Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM), dan mengikut format International Surf Association (ISA).

Lebih menarik, selain menerima hadiah wang tunai, baucar tunai dan produk daripada penaja bernilai sehingga RM 20,000 pemenang-pemenang dalam setiap kategori akan dikreditkan mata untuk melayakkan diri pemilihan ke pasukan negara untuk mewakili negara dalam acara antarabangsa seperti Sukan Pantai Asia dan Sukan SEA.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah, Shortboard Lelaki Terbuka, Shortboard Wanita Terbuka, Shortboard Grommet (bawah 16 tahun), Longboard Lelaki Terbuka, Longboard Wanita Terbuka dan Papan Badan Terbuka.

Festival ini turut mendapat suntikan tajaan daripada Tourism Pahang dan Rip Curl Malaysia, bersama 13 penaja lain malah turut mendapat sokongan daripada PDRM, Jabatan Bomba, Rela, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Bandaraya Kuantan.

Selain pertandingan meluncur, terdapat juga gerai makanan dan minuman disediakan serta program seni dan kraf untuk pengunjung-pengunjung yang hadir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: