JURULATIH olahraga para negara, R Jaganathan langsung tidak rasa terkilan atau berkecil hati selepas kontraknya tamat dan tidak disambung Majlis Sukan Negara (MSN).
Tegasnya, sudah sampai masanya untuk beliau mengundur diri dan memberi peluang kepada penggantinya mengambil alih tugas melatih atlet para negara.
“Saya sudah maklumkan perkara kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MS), Datuk Ahmad Shapawi Ismail bahawa temasya Paralimpik Tokyo adalah tugas terakhir saya.
“Tiada apa yang saya kesalkan. Saya sudah berjaya melahirkan ramai atlet. Juara dunia, Paralimpik, Komanwel dan Asia.
“Saya yakin pengganti saya nanti mampu untuk mengalas tugas itu dan semangat orang muda itu boleh melahirkan lebih ramai atlet berdaya saing.
“Sudah tiba masanya untuk saya berkongsi pengalaman saya melahirkan lebih ramai jurulatih baru terutama dalam sukan para ini,” katanya pada sidang media di MSN, hari ini.
Tugas Jaganathan sebagai ketua jurulatih olahraga para negara itu nanti akan digalas Ahmad Rafee Arifin yang sebelum ini bertugas sebagai pembantunya selama hampir empat tahun.
Kehadiran Jaganathan dalam sukan para memberi impak besar selepas berjaya membimbing Ridzuan atau dikenali dengan panggilan Dik Wan merangkul emas acara 100 meter T36 Sukan Paralimpik Rio 2016.
Sementara itu, Shapawi memaklumkan bahawa Jaganathan akan diberi peranan baru yang akan dibentuk bagi membantu melahirkan lebih banyak jurulatih para negara.
Ia turut dipersetujui oleh Presiden Persatuan Olahraga Para Negara, Mohd Zarrawi Ravi yang menjelaskan Jaganathan bakal memikul peranan baharu sebagai koordinator yang akan menghasilkan lebih ramai jurulatih para.






Add Comment