Lain-Lain

“Jika tidak diberi perhatian, sukan angkat berat akan pupus” – Firdaus


 Atlet angkat berat sedang mengikuti latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Kedah baru-baru ini. Foto AMMAR HAZIQ

Oleh: AMMAR HAZIQ

SUKAN angkat berat yang sebelum ini banyak menyumbangkan pingat kepada negara di pentas antarabangsa berdepan pelbagai risiko selepas tiada kejohanan besar diadakan di negara ini sejak dua tahun lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Kedah, Firdaus Abd Razak mengakui situasi sukar malah menyifatkan acara ini berdepan dengan suasana suram.

“Jika pihak berkenaan contoh Majlis Sukan Negara (MSN), tidak pandang serius dalam hal ini, kita bimbang akan pupus sukan (angkat berat) dan juga atlet kita di tanah air Malaysia tercinta ni.

“Kena bertanding juga kerana tahun ini ada Sukan Komanwel dan lain-lain kejohanan, jadi kalau tak dipertandingkan, saya rasa peluang kita semakin hampir pupus untuk nak bangunkan semula angkat berat di tanah air.

“Perkara ini penting sebab angkat berat adalah penyumbang pingat terbesar pada sukan Komanwel,” katanya semasa ditemui pemberita.

Firdaus Abdul Razak

Mengulas lanjut, Firdaus yang juga bekas atlet angkat berat kebangsaan berkata, Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 yang sepatutnya diadakan pada April tahun ini namun dianjakkan ke tahun 2024 juga tidak mempertandingkan acara angkat berat.

Menurutnya, atlet angkat berat ketika ini juga dilihat berkemungkinan besar hilang sumber pendapatan dan akan beralih ke bidang lain.

“Mereka dilihat cenderung memilih untuk bersara awal atau menyertai sukan yang lain ataupun menceburi bidang lain kerana tiada kejohanan angkat berat berat yang boleh diceburi,” ujarnya.

Tambah Firdaus, Kejohanan angkat berat bertaraf besar perlu dianjurkan oleh pihak bertanggungjawab bagi menguji tahap kemampuan atlet-atlet angkat berat tempatan di seluruh negara.

“Kejohanan ini penting dalam meningkatkan kembali keyakinan, semangat dan moral mereka kerana tiada kejohanan yang besar perlu dilalui mereka sejak tahun 2020,” katanya lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: