
KETUA jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney berharap Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal dapat menyertai kem latihan sebelum ke Kemboja bulan ini.
Skuad B-23 negara bakal mengharungi saingan Piala AFF B-23 2022 bermula 14 Februari ini dan kini sedang menjalani latihan persiapan terakhir.
Maloney memberitahu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang cuba menyelesaikan isu peribadi pemain yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) ini.
“Saya telah berbual dengannya semalam dan dia kelihatan amat berminat untuk turut serta namun kita kesuntukan masa, harap-harap dia boleh sertai skuad secepat mungkin.

“Sekiranya dia kembali ke Kuala Lumpur, dia perlu menjalani kuarantin untuk tempoh tertentu dan sebaik sahaja dia selesai urusannya di AS kita akan buat keputusan muktamad berhubung perkara ini,” jelasnya kepada media di kem latihan pusat pada Rabu.
Kali terakhir pemain berusia 20 tahun itu menyertai kem latihan pusat ialah ketika bersama pasukan kebangsaan Bawah 19 Tahun pada Ogos 2020.
Walaupun Maloney mengakui Wan Ahmad Kuzri sebagai pemain yang bagus, jurulatih kelahiran Australia itu memberitahu dia tidak menjamin tempat untuk pemain ini dalam skuad akhir ke Kemboja kerana pemain tengah itu perlu bersaing dengan pemain-pemain lain.
“Semua orang memiliki peluang yang sama… seperti yang saya telah katakan, pintu kami sentiasa terbuka, jadi masih terdapat ramai pemain yang layak menyertai pasukan ini dan kami sentiasa berfikiran terbuka mengenainya,” jelas Maloney.
Add Comment