Oleh: JJFIRDAUS
PASUKAN bola sepak wanita Negeri Sembilan (NSW FC) muncul juara sulung Liga Super Wanita FAS selepas menewaskan The Footsouls 1-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya.
Kejohanan julung kali kelolaan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ini berjaya menarik minat 10 kelab terdiri dari negeri, kelab sosial dan kelab amatur yang bertanding selama secara kompetitif selama dua bulan.
Pasukan NSW FC yang dibarisi beberapa pemain negara menguasai babak awal permainan dan hampir di hadapan pada minit ke-19 apabila Henrietta Justine berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol tetapi percubaan beliau dinafikan.
The Footsouls juga sesekali berjaya melakukan beberapa serangan berbahaya erutama menerusi ayam tambatan mereka, Intan Serah yang banyak mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.

Bersambung babak kedua, NSW FC masih mengekalkan penguasaan tetapi masih gagal menembusi barisan pertahanan The Footsouls yang berdisiplin dalam bertahan sekaligus mengecewakan barisan serangan NSW FC.
Mendapat sokongan hebat dari para penyokong yang diketuai oleh ultras, NSW FC menggandakan asakan di minit-minit akhir perlawanan dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan pada minit terakhir.
Berpunca dari sepakan sudut yang mengelirukan dari Henrietta Justine, penjaga gawang The Footsouls tersalah perkiraan dan tertolak ke gawang sendiri sekaligus memberikan kejuaraan kepada NSW FC.

Sebagai juara, NSW FC membawa pulang trofi, pingat dan wang kejuaraan sebanyak RM5,000 manakala The Footsouls pula membawa pulang pingat dan wang tunai RM3,000.
Justine Henrietta juga telah dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dan penjaga gol, Ezza Ashikin telah dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan. Pemenang kasut emas pula menjadi milik penyerang The Footsouls, Nurul Nadia Roslan.
Trofi dan hadiah telah disampaikan kepada para pemenang oleh DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Selangor.
Add Comment