Bola Sepak

“Tak peduli cakap orang… keluarga akur minat saya” – Lay Pin


Aksi Lay Pin ketika bertemu pemain NSW pada perlawanan akhir Liga Super Wanita FAS pada Rabu.

Oleh: JJFIRDAUS

MENERIMA pandangan sinis dan kecaman daripada keluarga dan komuniti sudah menjadi lumrah buat kapten pasukan The Footsouls, Gan Lay Pin apabila dia mula berjinak dengan bola sepak bermula dari zaman kanak-kanak lagi.

Menurut pemain yang mesra disapa Pin ini, dia mula meminati sukan bola sepak sejak kecil dan sering mendapat tentangan dari keluarga kerana bagi masyarakat Cina, bola sepak tidak sesuai untuk kanak-kanak perempuan.

Lay Pin bukan sahaja mendapat tentangan keluarga, malah komuniti setempat juga seperti tidak dapat menerima kenyataan seorang anak gadis bermain bola sepak dan bukannya berada di dapur menguruskan rumah.

Inilah realiti yang sering terjadi dalam masyarakat Cina sehingga semakin kurang pemain berbangsa Cina yang bermain bola sepak baik lelaki apatah lagi perempuan.

Bercakap kepada Cakap Sukan selepas perlawanan akhir Liga Super Wanita FAS, Lay Pin berkata bahawa beliau melanggar apa yang dilarang keluarganya demi mengejar cita-cita menjadi pemain bola sepak kerana ini adalah minatnya.

The Footsouls bergelar naib juara WSL 2021.

“Saya seorang yang ‘rebellious’. Semuanya saya lakukan sendiri. Saya turun berlatih sendiri, saya membeli kasut bola saya sendiri dan saya banyak bercampur dengan rakan-rakan lelaki untuk bermain bola sepak,” kongsi Lay Pin.

Pada peringkat awal, pastinya keluarganya tidak berkenan dengan minatnya tetapi lama kelamaan selepas melihat dia begitu bersemangat, akhirnya keluarga terpaksa akur dengan minatnya dan kini menyokong penuh kehidupan yang dipilihnya.

Lay Pin juga adalah kapten pasukan The Footsouls yang merangkul gelaran naib juara dan kini berjaya membuktikan kemampuannya kepada keluarga dan komuniti.

Selain itu, pemain berusia 28 tahun ini menjadikan pemain legenda Manchester United, Michael Carrick sebagai idola kini gembira melihat perkembangan bola sepak wanita di negara ini dengan pelbagai platform dan kejohanan diadakan untuk membolehkan lebih ramai wanita bermain bola sepak.

Gan Lay Pin. Foto: FAS

Malah juga memuji usaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan Liga Super Wanita ini kerana berpendapat medium ini adalah tempat yang sesuai untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan untuk progres bola sepak wanita negara.

Selain itu, Pin juga berpesan kepada remaja-remaja di luar sana terutamanya kepada masyarakat Cina supaya mengejar impian dan minat mereka kerana bola sepak juga adalah satu sukan yang bagus untuk kesihatan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading