Bola Sepak

“Semua ada tangan ghaib… jadi sayalah kambing hitam” – TMJ


Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Laporan khas dari Dubai, UAE oleh SUBKHI SUDARJI

PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyangkal dakwaan yang mengaitkan dirinya selaku individu yang berperanan sebagai ‘Tangan Ghaib’ dalam sukan bola sepak negara hingga menyebabkan kegagalan Harimau Malaya di pentas Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura Disember lalu.

Tanpa berselindung, Tunku Ismail menyifatkan isu tangan ghaib ditimbulkan adalah lebih kepada beberapa pihak yang nak lepas tangan.

“Kegagalan perancangan, kegagalan kerja sebagai seorang jurulatih atau pun kegagalan ada satu ketelusan dengan penyokong atau pun pihak media dari segi hubungan dua hala.

“Senang sahaja, ini semua ada tangan ghaib, jadi sayalah kambing hitam, sedangkan saya takde kena mengena dengan benda ini semua.

“Bagi pandangan saya, saya tak kecewa ataupun marah orang nak kaitkan saya atau salahkan saya, saya tak peduli, bagi pandangan saya jangan  kerana nak selamatkan kepala masing-masing dan mainkan persepsi TMJ mengawal segala-galanya,” jelasnya pada temubual Eksklusif bersama CakapSukan dari Dubai, UAE.

Mengulas lanjut, TMJ yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut memaklumkan setiap kelab mahupun pasukan dimaklumkan senarai awal pemain yang bakal dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Saya sentiasa ada pandangan, campur tangan tidak kerana saya tidak boleh buat keputusan untuk pasukan kebangsaan tetapi saya hanya beri pendapat, saya rasa  semua pihak boleh beri pendapat masing-masing.

“Saya yang bagi gaji pemain dan jaga pemain bukannya FAM,  saya yang jaga pemain sendiri, sama juga dengan pasukan lain Kedah, Selangor, Terengganu, Pahang, mereka yang menjaga pemain-pemain mereka. Jadi ini satu yang FAM perlu hormat.

“Jadi saya tak campur tangan berkenaan perancangan pasukan kebangsaan ataupun keputusan jurulatih, tapi saya memberi pandangan saya, kalau rasa benda itu tidak masuk akal dan tak logik hingga beri beban kepada pihak termasuk pemain-pemain saya akan sampaikan pandangan saya yang ikhlas.

“Bagi saya ia bukan campur tangan tapi ia memberi pendapat, ada beza beri pendapat dengan campur tangan… itu situasi sekarang ini,” tegasnya.

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: