Bola Sepak

Kim Pan Gon mampu bawa perubahan


Azizon Abdul Kadir

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

BEKAS penjaga gol kebangsaan 2004-2014 , Azizon Abdul Kadir percaya disiplin dan tahap kecergasan pemain bakal menjadi perkara utama akan dititikberatkan pengendali baharu Harimau Malaya dari Korea Selatan, Kim Pan Gon.

Jelas Azizon, pastinya akan ada perbezaan dari corak latihan yang akan memberikan manfaat buat pemain kebangsaan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain.

“Jurulatih asing dan tempatan pasti berbeza, mereka (import) pastinya akan lebih tekankan disiplin dan kecergasan pemain, bukan saya kata jurulatih tempatan tidak bagus.

“Kita selaku pemain bolasepak perlu mengambil peluang ini, jurulatih Pan Gon lebih memahami permainan diluar, kita faham dengan rangking kita sekarang jadi kita sudah ada jurulatih baharu, moga ada sinar buat negara kita,” jelasnya.

Azizon yang kali terakhir bergelar pemain kebangsaan pada 2014 dibawah kendalian Dollah Salleh menyifatkan, Pan Gon memiliki pengalaman yang luas membimbing skuad muda dan juga kebangsaan.

“Pada saya InsyaAllah, dia (Pan Gon) memiliki banyak pengalaman, kira nampak bagus untuk Harimau Malaya, harap pemain kita dapat mengikuti corak latihan fizikal dan kecergasan yang akan dibawa,” ujarnya.

Jumaat lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melantik Kim Pan Gon yang juga bekas jurulatih Hong Kong  bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan selepas Tan Cheng Hoe meletak jawatan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan jurulatih berusia 52 tahun itu diberikan kontrak dua tahun dengan pilihan kontraknya akan disambung lagi sekiranya berjaya meningkatkan persembahan skuad kebangsaan atau FAM berpuas hati dengan prestasinya.

Bagaimanapun, pelantikan Pan Gon turut disertai dengan ‘pakej’ di mana bekas pengarah pasukan kebangsaan di Persatuan Bolasepak Korea (KFA) itu turut membawa pembantunya terdiri daripada pegawai analisis dan kecergasan, pembantu jurulatih serta jurulatih teknikal.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: