Bola Sepak Komentar

Tabik hormat untuk Dell serta barisan panel, ‘WAKE UP’ FAM dan segelintir Exco !


Dell Akbar Khan Hyder Khan

Oleh: MOHD FARIQ

DALAM kehidupan ini, kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

Bagi mana-mana tokoh yang bergelar pemimpin, sama ada pertubuhan yang mereka ketuai itu berunsur politik atau badan bukan kerajaan, apa sahaja yang dilakukan dalam menentukan hala tuju sesebuah organisasi itu sentiasa menjadi topik hangat.

Datuk Hamidin Mohd Amin dan Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan menyedari hakikat ini dengan jelas.

Di sebalik persamaan mereka sebagai individu yang pernah menduduki kerusi panas selaku Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mereka juga lahir dalam generasi terdahulu ketika masyarakat membincangkan bola sepak di kedai kopi atau lidah pengarang di dada akhbar.

Dunia hari ini dikuasai oleh media sosial, dengan nama Hamidin, Dell dan jurulatih kebangsaan yang baharu, Kim Pan Gon, sohor kini dan tular.

Apapun, penulis tabik hormat kepada Dell dan ahli panel siasatan bebas yang berkumpul tidak sampai dua minggu untuk bersidang empat kali bagi mengumpul dapatan ini.

Bagi penulis, jika ada pihak menganggap kesimpulan daripada bedah siasat ini lompong, mereka sebenarnya buta hati.

Dalam rumusan 10 kepincangan yang didedahkan, analisis penulis merumuskan Dell mendedahkan kelemahan FAM dalam tujuh daripadanya, iaitu:-

Dell (tengah) mendedahkan hasil penemuan yang dibuat oleh pasukan Badan Siasatan Bebas.

• Cheng Hoe beranggapan tidak mendapat sokongan apabila beliau menamakan beberapa pemain teras (core players) dari kelab tertentu. Ini memberi gambaran FAM tidak dapat memujuk kelab atau majikan untuk mengutamakan pasukan negara.

• FAM dicadang mengambil inisiatif berbincang dengan MFL supaya tempoh persiapan lebih panjang untuk pasukan negara, seolah-olah memberi gambaran bahawa ini gagal ditangani dengan baik oleh badan induk itu.

• Faktor psikologi pemain yang terjejas terperangkap dalam gelembung latihan dengan SOP yang berubah dan ketat. Ini memberi andaian bahawa FAM tidak mengambil kira faktor psikologi dan motivasi buat pemain di saat mereka gelisah dan tertekan dengan suasana COVID-19.

• Penetapan sasaran secara sendirian oleh Datuk Mohd Yusoff Mahadi selaku pengurus pasukan yang memberi tekanan kepada pasukan kejurulatihan dan pemain. Sekali lagi ini menggambarkan kelemahan FAM dalam mengurus persepsi.

• Kekurangan pasukan sokongan pelbagai disiplin selain seperti juruanalisis prestasi, pakar nutrisi, tukang masak dan pakar psikologi memberi gambaran seolah-olah FAM selama ini tidak menitikberatkan aspek ini yang memberi pasukan kelebihan marginal atau marginal gains.

•Pemilihan pemain naturalisasi tidak membawa impak yang diingini. Ramai maklum bahawa ini adalah projek ilham Hamidin apabila beliau mengambli alih selaku presiden pada 14 Julai 2018. Sekali lagi kelemahan ini datang daripada FAM.

•Kebajikan pemain tidak dititikberatkan apabila pilihan makanan menjadi terhad ekoran keputusan penganjur menyediakan makanan berbungkus, berbanding kaedah makan beramai-ramai sebagai satu pasukan yang mewujudkan rasa kekitaan sesama pemain.

Daripada 10 cadangan penambahbaikan yang didedahkan oleh Dell, penulis menganggap sembilan daripadanya sebagai satu bentuk teguran atau wake-up call buat FAM serta Hamidin sendiri.

• Tempoh 14 hari yang dicadangkan untuk latihan pusat pasukan negara sebelum menghadapi kejohanan antarabangsa seolah-olah FAM tidak pernah terfikir perkara ini.

• Keperluan pasukan prestasi tinggi yang berpaksikan data, dengan melantik pengurus prestasi tinggi, penganalisis video dan pegawai statistik yang mengumpul match summary untuk menghimpunkan latar belakang, profil dan data serta jumlah caps/jaringan pemain sudah lama dicanangkan oleh media seangkatan penulis sejak 1990-an lagi, tetapi ini memberi gambaran FAM tidak mengambil berat perkara ini.

• Pemansuhan jawatan pengurus pasukan dan pewujudan ketua delegasi memberi gambaran bahawa pengurus tidak memberi nilai tambah kepada pasukan.

• Cadangan komposisi jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan yang dipengerusikan oleh Hamidin harus dianggotai beberapa ahli yang ada kelayakan teknikal bola sepak, satu lagi teguran terhadap FAM.

• Cadangan agar Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM melakukan kajian teknikal dan cadangan secara konsisten untuk beri nilai tambah kepada pasukan kebangsaan. Ini bermakna Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Teknikal bekerja secara silo. Mereka tidak sedar bahawa Vietnam lama berpangkalan di Malaysia untuk meninjau kekuatan dan kelemahan pemain negara.

• Pangkalan data yang meluas untuk menilai pemain. Ini bermakna FAM tandus data dan statistik.

• Keperluan MFL menyesuaikan jadual skuad kebangsaan membawa maksud bahawa selama ini FAM tidak menangani isu ini dengan bijak

• Cadangan pelan kontingensi untuk menangani COVID-19 seolah-olah memberitahu kita FAM hanya ada Plan A, tanpa ada Plan B hingga Z.

• Mengutamakan sasaran skuad kebangsaan sepanjang 2022. Apakah ini tidak pernah dilakukan dalam FAM?

Hanya satu yang penulis lihat sebagai satu tamparan buat Cheng Hoe dan rakan-rakan jurulatihnya, pendedahan bahawa laporan yang disediakan amat mengecewakan, di mana bekas jurulatih kebangsaan itu tidak menyediakan laporan lengkap dari segi analisis taktikal pasukan untuk setiap perlawanan, prestasi individu 24 pemain yang terpilih bersama statistik permainan, infografik yang melakarkan penguasaan bola.

Apakah ini bentuk laporan yang diterima oleh sebuah jawatankuasa yang merencanakan pasukan kebangsaan?

Hamidin Mohd Amin

Daripada pendedahan bedah siasat ini, penulis tertanya-tanya, apakah Hamidin dan FAM bersedia untuk move forward?

Pelantikan Pan Gon tidak boleh dikaitkan dengan rumusan bedah siasat kerana macam manapun FAM terpaksa mencari pengganti kepada Cheng Hoe dengan segera.

Cumanya penulis meminta agar Hamidin serta FAM melaksanakan beberapa cadangan badan siasatan bebas itu yang realistik dan berunsur solusi.

Juga Hamidin eloklah letakkan petunjuk indeks prestasi (KPI) buat semua ahli jawatankuasa eksekutifnya dengan telus serta dikongsi dalam media sosial FAM supaya peminat boleh menilai sumbangan mereka dan tidak sekadar memanaskan kerusi mesyuarat sambil menikmati mee goreng dengan telur goreng mata lembu dan teh tarik sebagai pembasah tekak.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: