PEMAIN nombor satu negara, Lee Zii Jia mengemukakan tiga permintaan tidak masuk akal sebagai syarat untuknya kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika perbincangan dengan pihak pengurusan sebelum ini.
Tiga syarat itu yang didedahkan dalam sidang media BAM petang tadi adalah membawa jurulatih sendiri, pasukan sokongan sendiri dan memilih sendiri kejohanan yang mahu disertainya – sesuatu yang sukar dipenuhi oleh badan induk itu.
Namun menurut sumber dalaman, ia bukan sesuatu yang menghairankan kerana pemain itu sudah ‘besar kepala’ sehingga ada beberapa kali meninggalkan gelanggang latihan kerana tidak berpuas hati.
Permintaan itu agak pelik kerana kecuali Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choon Hann, Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock adalah dua jurulatih yang pernah membimbing legenda negara, Datuk Lee Chong Wei.
“Adakah mereka tidak bagus atau pemain itu memikirkan dia lebih baik daripada kedua-dua jurulatih itu?,” kata sumber tersebut.
Bagi permintaan kedua pula, pasukan sokongan yang digunakan BAM ketika ini adalah pegawai-pegawai daripada Institut Sukan Negara (ISN), sama seperti ketika Chong Wei berada dalam skuad negara.
Permintaan ketiganya pula hampr sama dilakukan Zii Jia ketika beraksi di kejohanan liga Eropah – Terbuka Denmark, Perancis dan Terbuka Hylo (Jerman) selepas kejohanan Piala Sudirman dan Thomas, Oktober lalu.
Dia tetap mahu beraksi walaupun tampil hambar di Piala Thomas apabila gagal menyumbang mata penting ketika berdepan pasukan gergasi.
Begitu juga ketika beraksi di Bali untuk kejohanan Terbuka Indonesia, Masters Indonesia dan pusingan akhir Jelajah Dunia, namun tiada juga hasilnya, sekali gus hanya All England sebagai satu-satunya gelaran yang dimenanginya pada 2021 – itupun tanpa kehadiran pemain China dan Indonesia.
Malah, aksinya di Bali, November lalu begitu hambar seperti bercuti atau mungkin sengaja bermain buruk agar digugurkan daripada BAM dan lebih memburukkan keadaaan, persembahannya di Kejohanan Dunia, di Sepanyol selepas tempoh ‘berehat’ di Bali, turut berakhir dengan kekecewaan.
Persoalannya, adakah tiga permintaannya itu sekadar alasan kerana menyedari tidak akan dipenuhi atau egonya sudah terlalu tinggi.
Mungkin Zii Jia, lupa dia sekadar pemain nombor tujuh dunia, bukannya pemain nombor satu dunia. Cara untuk lari daripada bayangan Chong Wei, bukan menerusi ego sebaliknya tampil dengan gelaran utama yang tidak pernah dimiliki legenda itu.
Masih belum terlambat untuknya beralah, namun jika perang yang mahu dicarinya, kariernya mungkin menjadi singkat dan sekadar menang sorak, kalah sabung.
Add Comment