Bola Sepak

Kim Pan-Gon dipilih Ketua Jurulatih Harimau Malaya baharu



JURULATIH kelahiran Korea Selatan Kim Pan-Gon dipilih sebagai ketua jurulatih baharu pasukan Harimau Malaya.

Pan-Gon,52, merupakan bekas ,jurulatih kebangsaan Hong Kong (2012-2017).

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pada Jumaat.

“Pemilihan Pan Gon ini dibuat selepas penilaian menyeluruh ke atas calon-calon dari pelbagai negara termasuk dari Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika Latin serta dalam negara.

“FAM berasakan bahawa Pan Gon merupakan calon terbaik untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai jurulatih di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan, selain berada dalam sistem pasukan kebangsaan Republik Korea dalam tempoh empat tahun terakhir ini,” ujar Hamidin.

Hamidin Mohd Amin

Sebagai rekod, selepas beraksi sebagai pemain bersama kelab Republik Korea iaitu Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors pada era 1990-an, Pan Gon berhijrah ke Hong Kong pada 2000 dan kemudian sempat bergelar pemain-jurulatih di Hong Kong Rangers FC pada 2003-2004.

Dia kemudian kembali ke Republik Korea selepas memperoleh Lesen Pro AFC untuk memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008), ketua jurulatih South China FC (2008-2010), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2012-2017).

Sebagai pengendali skuad kebangsaan Hong Kong, Pan Gon berjaya membimbing pasukan berkenaan mencipta sejarah buat pertama kalinya meraih pingat emas pada East Asian Games 2009 dan seterusnya menjuarai saingan kelayakan East Asian Football Championship 2010 untuk layak selaku empat pasukan terbaik ke pusingan akhir.

Selain itu juga, sepanjang saingan Kumpulan C, Kelayakan Piala Dunia 2018 yang berlangsung pada 2015 dan 2016, Pan-Gon berjaya menghasilkan empat kemenangan daripada lapan perlawanan yang mana dua keputusan seri berjaya dicatat Hong Kong ketika berdepan China, sekaligus membuktikan bahawa beliau mempunyai kredibiliti dan sentuhan untuk membawa pasukan bimbingannya menandingi pasukan lawan yang lebih kuat.

Hong Kong kendalian Pan-Gon juga pernah dua kali bertemu skuad Harimau Malaya pada 2017 yang ketika itu dibimbing Nelo Vingada pada saingan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 yang mana aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka berkesudahan seri 1-1 dan aksi di Hong Kong, Malaysia tewas 2-0.

Biarpun dia tidak memegang jawatan sebagai ketua jurulatih mana-mana pasukan kebangsaan atau kelab sepanjang empat tahun terakhir sejak 2018, Pan Gon sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan KFA sebenarnya merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam pelantikan ketua jurulatih Republik Korea, Paulo Bento dari Portugal dan ketika ini, negara berkenaan dalam kedudukan terbaik untuk layak ke Piala Dunia 2022 dengan rekod tanpa kalah sepanjang saingan kelayakan akhir dengan berbaki empat perlawanan lagi.

Kemampuan Pan-Gon yang fasih berbahasa Inggeris memudahkannya untuk berkomunikasi dengan staf kejurulatihan, pegawai, pemain dan media, selain juga memiliki pengetahuan serta cukup memahami budaya bola sepak di Asia dan juga Asia Tenggara.

Pan-Gon dijangka tiba di Malaysia pada awal Februari 2022 bersama-sama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Pan-Gon dan barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading