Bola Sepak

Ishak Kunju dilantik Pengarah Teknikal Negeri Sembilan FC


Oleh: MOHD FARIQ

NAMA Ishak Kunju Mohamad kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan selepas dilantik sebagai Pengarah Teknikal (PT) pasukan Negeri Sembilan Football Club (NSFC) sejak seminggu yang lepas.

Ishak Kunju yang memiliki kelayakan tertinggi Sijil Kejurulatihan Lesen A serta Diploma AFC Pro bukanlah satu watak asing buat penyokong bola sepak negara selepas memiliki pengalaman membimbing pasukan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengendali berusia 50 tahun ini mengakui kepada CAKAP SUKAN bahawa dia teruja dengan peranan yang ditawarkan oleh NSFC apabila diberi tanggungjawab untuk membentuk ‘DNA’ skuad Hoben Jang Hoben yang kembali membuat penampilan sulung di pentas Liga Super sejak 2018.

“Saya amat teruja kerana diberikan kepercayaan oleh NSFC untuk menjadi Pengarah Teknikal.

“Apa yang pasti saya akan mencurahkan segala bakti dan ilmu serta tidak ketinggalan saya sememangnya gembira kerana dapat bekerjasama dengan jurulatih NSFC, K.Devan di mana beliau adalah satu kelebihan buat saya untuk terus belajar sesuatu.

Ishak Kunju memiliki memiliki kelayakan tertinggi Sijil Kejurulatihan Lesen A serta Diploma AFC Pro.

“NSFC memiliki fasiliti dan pembangunan yang cukup. Namun apa yang membuatkan saya lebih teruja adalah untuk melihat keseluruhan struktur pasukan di bawah usia 19 tahun dan 21 tahun dan juga peringkat lain, apatah lagi NSFC memiliki akademi yang mempunyai kira-kira lebih 200 pemain muda.

“Saya menerima sambutan yang cukup baik daripada pihak NSFC dan seperti saya katakan tadi, saya sudah mula untuk bertugas, selesa berada di sini serta mahu agresif menjalankan tanggungjawab saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ishak yang juga bekas pemain Kuala Lumpur Malay Mail dan Terengganu tahun 90-an, menyifatkan juara Liga Premier musim 2021 memiliki banyak permata pembikinan pemain muda berpotensi tinggi.

Ishak Kunju juga merupakan salah seorang exco di dalam Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

Selain itu, menurut jurucakap NSFC, Ishak Kunju telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal NSFC pada minggu lalu dengan ditawarkan kontrak selama setahun.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: