Bola Sepak

Badan Siasatan Bebas dedah 10 punca kegagalan skuad Piala AFF 2020


Badan Siasatan Bebas dipengerusikan oleh Datuk Dell Akbar Khan.

SELEPAS diumum penubuhannya pada 7 Januari 2022, Badan Siasatan Bebas (BSB) Pasukan Harimau Malaya telah bersidang sebanyak empat kali iaitu pada 12, 14, 16 dan 20 Januari 2022.

Ia bagi mencari punca kegagalan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, Disember 2021 yang biarpun mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal ke separuh akhir.

Susulan daripada itu Badan Siasatan Bebas telah mengenal pasti 10 dapatan (finding):

1. Ketiadaan Pemain ‘Core’

Faktor tiadanya khidmat sejumlah besar ‘core players’ untuk ke Singapura mendedahkan kelemahan proses komunikasi di antara ketua jurulatih dan pengurusan pasukan serta Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

Ketua jurulatih beranggapan tidak mendapat sokongan apabila beliau menamakan beberapa ‘core players’ daripada kelab-kelab tertentu.

Pengurusan pasukan pula kelihatan tidak berani untuk memberikan sokongan kepada pemilihan beliau ketika Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM menegaskan bahawa isu sebegitu tidak timbul kerana mana-mana pemain pun boleh diperolehi oleh ketua jurulatih untuk dipilih beliau.

2. Tempoh Persiapan Yang Singkat

Tempoh persiapan singkat kerana penganjuran TM Piala Malaysia 2021 yang masih berlangsung sepanjang November 2021 ternyata menjejaskan perancangan latihan pusat skuad Harimau Malaya. Seharusnya tempoh latihan minimum diperuntukkan dengan FAM perlu mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur liga iaitu MFL dan pasukan-pasukan supaya objektif ini dapat dicapai.

3. Pandemik COVID-19

Faktor pandemik COVID-19 tidak ditangani sebaik mungkin, terutama daripada segi kekangan yang terpaksa dihadapi pemain serta faktor psikologi yang menjejaskan pemain yang terikat di dalam persekitaran ‘bubble’ sewaktu kejohanan berlangsung.

4. Penetapan Sasaran

Penetapan sasaran yang dilakukan secara sendirian atau ‘silo’ oleh pengurus pasukan yang menjadi satu bentuk tekanan kepada pasukan kejurulatihan dan pemain-pemain.

5. Kemampuan Pemain-Pemain

Pemilihan pemain-pemain yang tidak bersedia untuk menangani tuntutan permainan di peringkat lebih tinggi di pentas antarabangsa. Kemahiran teknikal, pengalaman dan aspek fizikal (physical conditioning) yang terhad mengakibatkan pemain-pemain kelihatan tenggelam ketika pertemuan dengan pasukan Vietnam dan Indonesia.

6. Percaturan Taktikal

Percaturan taktikal dengan memaksa pemain menyesuaikan diri dalam keadaan formasi berbeza juga tidak berkesan. Ia kerana tiadanya tempoh latihan yang mencukupi untuk membolehkan pemain-pemain memahami sebarang perubahan taktikal ketika permainan berlangsung.

7. Kekurangan Pasukan Sokongan (Multi-disciplinary)

Tiadanya pasukan sokongan khusus yang komprehensif daripada FAM bagi aspek penting yang diperlukan oleh pasukan kebangsaan seperti pasukan sokongan teknikal serta sains dan perubatan sukan yang mencukupi.

8. Keharmonian Di Antara Pemain-Pemain

Faktor keharmonian di antara pemain-pemain tidak diberi perhatian serius. Kehadiran pemain naturalisasi yang gagal beraksi baik mencipta tekanan tambahan kepada kumpulan pemain-pemain lain.

9. Pemilihan Pemain Naturalisasi

Strategi naturalisasi pemain untuk pasukan kebangsaan tidak berkesan, dengan program naturalisasi yang lebih teliti dan berstruktur wajar dilakukan untuk inisiatif sama pada masa hadapan.

10. Kebajikan Pemain-Pemain

Ketiadaan persediaan awal dari segi rancangan pemakanan dan nutrisi yang terancang untuk pemain-pemain ketika di Singapura. Pihak pengurusan menghadapi kesukaran apabila penganjur hanya menyediakan “pack food”.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading