Badminton

Bukan semudah itu buat Zii Jia… BAM berhak tuntut pampasan ‘pelaburan’ selepas ‘angkat kaki’


Oleh: CAKAPSUKAN

SELEPAS Lee Zii Jia menamatkan teka-teki status dirinya dalam skuad kebangsaan, kini penantian seterusnya adalah bentuk hukuman atau tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sama ada menerima surat penarikan diri itu.

BAM akan mengadakan sidang akhbar khas petang esok (Jumaat)  dan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu bakal mengetahui untung nasibnya sama ada dibenarkan meneruskan kariernya sebagai pemain profesional atau badan induk berkenaan menolak surat tersebut.

Difahamkan situasi ketika ini kurang berpihak kepada juara All England 2021 itu andainya berkeras mahu menjadi pemain bebas kerana ’kelebihan’ berada di tangan BAM.

Sebagai ’badan pendaftar’ untuk seseorang pemain negara beraksi di pentas antarabangsa, mahu atau tidak, sebarang penyertaan tetap harus ke BAM menerusi persatuan negeri yang memayunginya, dalam kes Zii Jia ia adalah Persatuan Badminton Kedah.

Namun, selepas tindakan terkini Zii Jia yang membelakangi persatuan negerinya, laluan berliku pasti menantinya.

Aksi Zii Jia pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu.

Andai ada pihak yang berpendapat pemain itu boleh memilih untuk mewakili negara lain, perlu diingat di bawah peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), seseorang pemain harus melepasi kriteria tertentu termasuk tempoh bermastautin di negara baru yang mahu diwakilinya.

Begitupun, sebarang perpindahan perlu mendapat persetujuan dua pihak iaitu persatuan yang diwakilinya sekarang dan persatuan kebangsaan negara yang bakal diwakilinya. Andai gendang perang yang dipalu Zii Jia, sekali lagi masalahnya tidak akan selesai.

Situasinya tidak sama dengan juara dunia, Loh Kean Yew, anak Pulau Pinang yang kini mewakili Singapura kerana dia sudah berhijrah ke republik sejak berusia 13 tahun dan memilih menjadi warganegaranya.

Pilihan terbaik buat Zii Jia adalah mengharapkan BAM mengenakan pampasan, sesuatu yang bukan baru kerana Roslin Hashim pernah membayar lebih RM65,000 untuk ’melepaskan’ dirinya daripada BAM untuk menyertai kelab Nusa Mahsuri pada 1996.

Bagaimanapun, ketika itu Roslin bukan pemain nombor satu negara seperti Zii Jia dan tidak mustahil andai BAM memilih mengenakan bayaran pampasan yang jauh lebih tinggi, sesuai dengan hasil kewangan yang bakal diperolehi pemain tinggi lampai itu.

Zii Jia dinobatkan Juara Seluruh England 2021.

BAM pastinya mahu menuntut pampasan atas ’pelaburan’ mereka ke atas Zii Jia sejak pemain itu berada di bawah mereka sejak berusia 13 tahun.

Selain itu, ia bukan sesuatu yang memeranjatkan jika BAM mengenakan pampasan yang tinggi memandangkan badan induk tersebut turut kehilangan potensi mendapat semula pulangan pelaburan mereka menerusi tajaan-tajaan yang biasanya mahukan pemain utama  dalam pakej tajaan.

Ura-ura Zii Jia meninggalkan BAM bertiup kencang sejak akhir bulan lalu tetapi dinafikan beberapa kali oleh pemain itu.

Malah, aksi hambar seakan ’bercuti’ sewaktu tiga kejohanan di Bali, Indonesia, November lalu – Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan pusingan akhir Jelajah Dunia, cukup menceritakan ada yang tidak kena dalam fokus pemain tinggi lampai itu.

Namun tindakannya lewat seminggu melapor diri seperti yang diberikan kepada semua pemain yang terlibat dalam Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol , Disember lalu sudah memberi gambaran awal kepada hasrat sebenar Zii Jia.

Difahamkan, selepas menerima surat Zii Jia dalam sampul panjang berwarna putih pada 11 Januari lepas, BAM memberikan tempoh seminggu kepadanya untuk berfikir sebelum penarikan dirinya berkuatkuasa pada 18 Januari, iaitu dengan notis seminggu.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

Dalam tempoh itu juga, BAM mengadakan dua pertemuan dengan Zii Jia bersama pengurus yang juga kakaknya, Lee Zii Yii termasuk membuat tawaran balas kontrak yang lebih baik untuknya.

Surat penarikan diri Zii Jia turut dibangkitkan dalam mesyuarat pengurusan BAM yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Rabu lepas sebelum BAM mengadakan mesyuarat Majlis tergempar pada Isnin lalu.

Bagi BAM, mereka tetap tersepit dalam situasi ini. Sekiranya ia berlembut, ia seakan membuka pintu kepada pemain-pemain lain untuk mengikut jejak yang sama.

Sebaliknya jika berkeras, BAM akan tetap dipersalahkan seolah-lah menutup periuk nasi baru yang mahu dicari Zii Jia walaupun  ia hanya mahu memastikan sistem sedia ada terpelihara agar tidak roboh angkara tindakan pemain yang dianggap kacang lupakan kulit.

Persoalannya adakah BAM berani mengambil langkah drastik dan bersediakah Zii Jia mengorbankan kariernya hanya kerana tarikan kewangan dan faktor tekanan – satu alasan yang kurang bijak untuk seseorang atlit dalam sukan berprestasi tinggi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: